suria

Hak Pengguna Lebih Terjamin Dengan Penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

Wahid Omar

KUALA LUMPUR: Hak pengguna akan lebih terjamin dengan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang mana pengguna boleh terus membuat aduan kepada suruhanjaya berhubung masalah berkaitan perkhidmatan penerbangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata antara aduan yang boleh dikemukakan ialah pengenai caj-caj yang tidak wajar dan membebankan pengguna.

"Suruhanjaya juga akan menggubal peraturan-peraturan berkaitan perlindungan  pengguna termasuk jenis pampasan yang perlu dibayar kepada pengadu sekiranya aduan tersebut didapati berlaku dan berasas," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 di Dewan Negara, Rabu.

Suruhanjaya itu juga akan memantau kos-kos tersembunyi khususnya yang dikenakan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah, katanya.

Terdahulu Senator K. Bathmavathi semasa perbahasannya berkata dua penumpang berkerusi roda yang menaiki sebuah pesawat penerbangan tambang murah tahun lepas dikenakan caj RM60 setiap seorang kerana membawa kerusi roda sendiri semasa daftar masuk, sedangkan ia sepatutnya percuma.

Abdul Wahid berkata, aduan itu akan disiasat Kementerian Pengangkutan dan dimaklumkan kepada syarikat penerbangan itu untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Pengangkutan, bukan Jabatan Perdana Menteri.

"Saya ingin memperjelaskan sekali lagi suruhanjaya ini ditetapkan di bawah kelolaan Menteri Pengangkutan. Ia bukan di bawah Perdana Menteri. Berbeza dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) , menteri bertanggungjawab ialah Perdana Menteri," katanya.

Keanggotaan suruhanjaya itu terdiri daripada Pengerusi Eksekutif yang dilantik Perdana Menteri, dua wakil Kerajaan Persekutuan terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri selain empat hingga enam anggota lain yang mempunyai pengalaman sesuai.

Dalam pada itu Abdul Wahid turut bersetuju dengan saranan beberapa senator supaya Malaysia Airlines (MAS) lebih menonjolkan identiti Malaysia dalam perkhidmatannya.

Antara cadangan itu ialah menghidangkan lebih banyak buah-buahan tempatan dan produk makanan keluaran perusahaan kecil dan sederhana selain penayangan filem-filem tempatan yang disertai sarikata, khususnya untuk tontonan penumpang warga asing.

Abdul Wahid berkata MAS daripada semasa ke semasa akan memperbaiki perkhidmatannya dalam pelbagai aspek, namun ia memerlukan sokongan pelbagai pihak supaya proses pemulihan MAS juga dapat disegerakan.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, antara lain bertujuan mewujudkan suruhanjaya itu yang bersifat bebas dan berperanan mengawal selia aspek ekonomi industri penerbangan negara bagi menggalakkan industri penerbangan supaya lebih efisyen, berdaya saing dan menyediakan persekitaran pasaran yang kompetitif.

Ia juga berperanan melindungi hak pengguna termasuk memastikan mereka mempunyai pilihan terhadap perkhidmatan penerbangan berkualiti serta pada harga yang kompetitif.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2015, Rang Undang-undang Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015

Persidangan dewan disambung esok.-- Bernama


Artikel Lain