suria

KDN Akan Diminta Senaraikan Ubat Kebas Sebagai Bahan Mengkhayalkan

Dr Hilmi Yahaya

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memasukkan ubat kebas atau penyembur "ethyl chloride" dalam senarai bahan yang mengkhayalkan untuk mencegah penyalahgunaan ubat itu dalam kalangan remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, KDN sedang menggubal satu akta berkaitan bahan mengkhayalkan yang merangkumi pengawalan, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi penagihan inhalan.

"Pihak kita belum ada kajian yang menunjukkan ramai terlibat dalam tabiat menyedut ubat kebas dalam kalangan remaja. Ia digunakan untuk menghilangkan kesakitan bersifat sementara dan diaplikasikan secara luaran semasa pembedahan kecil atau melegakan kecederaan otot ketika bersukan.

Disebabkan itu ia tidak dikawal sebagai racun berjadual di bawah Akta Racun 1952 dan boleh diperolehi di kaunter ubat sebagai produk 'Over The Counter' (OTC)," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Nget Yoon yang ingin tahu langkah berkesan daripada kerajaan untuk mencegah masalah penyalahgunaan ubat kebas dalam kalangan orang muda.

Dr Hilmi berkata, penggunaan ubat kebas itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif sekiranya digunakan dengan betul namun jika ia disalah guna ia boleh menyebabkan halusinasi dan ketagihan kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian sentiasa memberikan pendidikan mengenai cara penggunaan ubat-ubatan secara betul kepada orang rami supaya penyalahgunaan seperti itu dapat diatasi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberikan pemahaman mendalam kepada ibu bapa atau penjaga berkaitan risiko yang bakal dihadapi jika melanggar peruntukan dan peraturan serta garis panduan dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

"Ia termasuk tindakan yang boleh dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam penjagaan kanak-kanak," katanya menjawab soalan Senator Datin Rahimah Mahamad yang ingin tahu langkah memberi pemahaman mendalam terhadap ibu bapa berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 termasuk risiko bakal dihadapi jika mereka melanggar peraturan dan garis panduan dalam akta itu.

Mei Fun berkata, pada masa ini terdapat 149 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa dan penjaga serta kanak-kanak berisiko tinggi dalam aspek penderaan dan pengabaian.

"Kini terdapat 149 PAKK di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada 20,000 orang kanak-kanak. PAKK juga menyediakan program berbentuk bengkel dan kursus serta intervensi berbentuk motivasi, bimbingan kaunseling dan sukan," katanya.-- Bernama



KDN, ethyl chloride, ubat kebas

Artikel Lain