suria

PAS: Jawatankuasa Terima Enam Aduan Pertikai Kaedah, Ketidakpatuhan Pemilihan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat menerima enam aduan berkaitan perjalanan mesyuarat pemilihan parti peringkat kawasan termasuk satu melibatkan Dewan Pemuda parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, setakat ini, pihaknya menerima dua aduan secara rasmi daripada PAS kawasan Puchong dan Dewan Pemuda PAS Tumpat.

Menurutnya, terdapat empat aduan lagi secara tidak rasmi yang akan disampaikan kepada jawatankuasa iaitu masing-masing di kawasan Subang, Kapar, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

"Laporan ini mempertikaikan kaedah dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat pemilihan yang telah pun berlangsung. Kesemua aduan ini adalah mengenai ketidakpatuhan untuk mengikuti tata cara pemilihan yang ditetapkan oleh Peraturan Pemilihan PAS 2014.

"Antara aduan tentang calon yang sepatutnya bertanding tetapi namanya tercicir daripada senarai (pencalonan) pada saat akhir. Ini memberi ketidakadilan kepada calon berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Isnin.

Asmuni berkata, tarikh akhir bagi mengadakan mesyuarat pemilihan adalah pada Selasa bagaimanapun kemungkinan terdapat beberapa kawasan yang akan melaksanakannya selepas tempoh itu.

Ditanya adakah calon yang tercicir itu merupakan unsur sabotaj, katanya, ia lebih kepada pengurusan mesyuarat pemilihan yang tidak mematuhi peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

"Saya tidak mendapat laporan mengenai sabotaj, ini lebih kepada sikap pengurusan yang tidak mengikuti peraturan. Bila tidak mengikuti peraturan, akan berlaku beberapa kesilapan," katanya.

Mengenai aduan, katanya, jawatankuasa akan meneliti perkara tersebut sebelum mengadakan siasatan dan membuat tindakan lanjut.

Tambah Asmuni, berdasarkan mesyuarat jawatankuasa pada petang Ahad, semua kawasan, sama ada yang sudah atau akan mengadakan mesyuarat perlu menghantar laporan aduan berhubung perjalanan atau keputusan pemilihan selewat-lewatnya pada 24 April ini.

"Kita tetapkan tarikh hantar aduan ini supaya pemilihan semula diadakan berakhir sebelum 15 Mei ini untuk membolehkan kawasan dan dewan yang terlibat dapat menghantar perwakilan  pada Muktamar PAS pada Jun depan.

"Sekiranya pemilihan dibuat selepas Muktamar atau terlalu lewat, ia mungkin menjejaskan atau menafikan hak kawasan atau dewan yang berkenaan daripada menghantar perwakilan ke Muktamar," katanya.

Sehubungan itu, Asmuni meminta beberapa kawasan yang belum menyelesaikan mesyuarat pemilihan supaya mematuhi peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

"Ini bagi mengelakkan sebarang masalah atau pertikaian dalam perjalanan atau keputusan yang dibuat oleh pemilihan tersebut," katanya.

Menurut Asmuni, semua senarai pencalonan perlu dihantar kepada jawatankuasa menjelang tengah malam 30 April depan.





PAS, aduan, Asmuni Awi

Artikel Lain