suria

Kesan Cuaca Tidak Menentu Musim Peralihan Monsun

Ribut mengakibatkan pokok tumbang dan menghempap kenderaan di Kepong, Ahad.

PETALING JAYA: Perubahan cuaca yang ketara setiap hari memberi kesan kepada rakyat pelbagai lapisan umur kebelakangan ini.

Ada kalanya cuaca panas terik pada sebelah pagi bertukar sejuk pada tengah hari apabila tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya, selain angin kencang.

Keadaan seumpama ini dijangka berlarutan hingga awal Mei kerana musim peralihan monsun, menurut Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pegawai Meteorologi Kanan, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, situasi panas dan kemudianya basah adalah fenomena biasa sepanjang tempoh ini.

"Sepanjang musim ini, langit cerah secara umumnya pada sebelah pagi dan menjelang tengahari pula ia bertukar ribut dengan petir dan angin kencang hingga ke petang.

"Malahan, angin kencang boleh mencecah kelajuan sehingga 60 kilometer sejam (ksj) berbanding pada keadaan biasa kelajuan angin hanya 10 ksj," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati terutama ketika hujan lebat dan angin kencang kerana ia boleh mengakibatkan pokok tumbang yang tentunya membahayakan pengguna jalan raya.

"Kawasan yang paling terkesan berikutan peralihan musim ini adalah di barat Semenanjung dan juga kawasan pantai di Sarawak," katanya.

Katanya lagi, situasi ini akan berterusan hingga awal Mei apabila monsun barat daya bermula di mana hujan akan turun pada sebelah pagi di pantai barat Semananjung.

"Antara Mei dan Ogos pula, hujan akan berkurangan di kawasan tanah besar kecuali Sabah," katanya.

Mengenai laporan menyatakan berlakunya hujan batu, beliau berkata, kejadian itu pernah terjadi sebelum ini.

"Angin kencang akibat awan dan petir boleh membawa ais dalam bentuk ketulan," katanya.



Artikel Berikut

Artikel Lain