suria

Lebih Banyak Faedah Tarik Doktor Berkhidmat Di Luar Bandar

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan merancang untuk menawarkan elaun lebih tinggi dan kenaikan pangkat lebih cepat bagi menarik lebih ramai doktor untuk berkhidmat di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian sedang mengkaji untuk meningkatkan pelbagai elaun yang diberikan kepada doktor kerajaan yang ditempatkan di luar bandar, termasuk kos sara hidup dan bayaran dipanggil bertugas (on-call).

Beliau berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai doktor dan pakar perubatan dihantar ke kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak.

"Kita sedang berbincang dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) mengenai pelaksanaannya," kata Dr Noor Hisham.

Ditanya berapakah jumlah kenaikan elaun berkenaan, beliau berkata: "Ia masih belum diputuskan oleh JPA."

Beliau turut menafikan khabar angin mengenai elaun dipanggil bertugas untuk doktor akan dipotong.

Doktor kerajaan menerima pelbagai elaun untuk kos sara hidup, perumahan dan lain-lain.

Mereka yang lebih berpengalaman akan mendapat elaun hiburan, sementara elaun dipanggil bertugas berdasarkan setiap tuntutan.

Seorang doktor pelatih di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan purata kira-kira RM4,000, termasuk gaji pokok dan beberapa elaun.

Ditanya sekiranya terdapat pemotongan bajet untuk kementerian, Dr Noor Hisham berkata: "Kami dapat menguruskannya pada masa ini dan sekiranya terdapat sebarang pengurangan, kita mempunyai kajian pada pertengahan tahun.

"Tiada isu di hospital kerajaan sekarang tetapi kita masih boleh mengurangkan pembaziran dan menjadikan kos lebih efektif dan efisien, itu yang sedang dilakukan oleh kami pada masa ini," katanya yang mengulas mengenai beberapa pihak yang mengatakan terdapat pengurangan peruntukan untuk kementerian itu.

Mengenai cadangan meningkatkan elaun untuk menarik lebih ramai doktor ke luar bandar, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Krishna Kumar berkata, kementerian sepatutnya menangani isu-isu yang lebih penting terlebih dahulu.

"Setakat ini, kenaikan pangkat sudahpun terhad dan doktor-doktor kerajaan diberitahu bahawa tiada lagi kenaikan jawatan untuk diisi," katanya yang mempersoalkan bagaimana kementerian merancang untuk mempercepatkan tempoh kenaikan itu.

Dr Krishna berkata, satu lagi isu yang perlu ditangani adalah bilangan pakar perubatan yang tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

"Ramai yang pergi (berhenti) adalah mereka yang dalam bidang pembedahan termasuk ortopedik, obstetrik dan ginekologi," katanya.

Beliau mencadangkan supaya Suruhanjaya Kesihatan ditubuhkan supaya doktor kerajaan tidak akan bergantung kepada JPA untuk mengendalikan beberapa perkara seperti kenaikan dan gaji.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilaporkan pada 11 Mac lalu sebagai berkata, kementerian mahu memperbanyakkan pembantu perubatan, terutama di kawasan luar bandar berikutan bilangan doktor yang tidak mencukupi.

Pada 2013, dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, Malaysia berharap untuk mencapai nisbah 1:434 bagi pegawai perubatan kepada populasi penduduk menjelang 2020.

Ketika itu nisbahnya adalah 1:758.

Artikel Lain