suria

Jawatankuasa Khas Caj Perkhidmatan Mesyuarat Isnin Ini

GEORGE TOWN: Jawatankuasa Caj Perkhidmatan yang ditubuhkan bagi mengkaji prosedur pelaksanaan caj perkhidmatan di negara ini akan mengadakan mesyuarat buat kali keempat Isnin ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata masih banyak fasa perbincangan perlu dibuat untuk mencapai persetujuan kolektif daripada semua pihak.

Beliau berkata jawatankuasa melibatkan Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu perlu membuat kajian mendalam kerana tiada undang-undang khusus atau agensi yang mengawal selia pelaksanaan caj perkhidmatan itu.

"Isu ini sangat rumit kerana ia sudah dilaksanakan sejak sekian lama dan kita tidak mahu membuat keputusan yang menggugat mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas Operasi Antipencatutan Cukai Barang dan Perkhidmatan di Batu Ferringhi pada Sabtu.

Beliau berkata tiga siri mesyuarat melibatkan jawatankuasa itu bersama wakil-wakil persatuan pengguna dan pengusaha sebelum ini melihat maklum balas yang diterima tidak begitu positif terutama daripada pihak peniaga.

Katanya buat masa ini pihak pengurusan hotel dan restoran telah diarah mempamerkan notis memaparkan caj perkhidmatan masing-masing untuk kemudahan pengguna.

"Hanya pengusaha yang ada perjanjian bersama dengan pekerja dibenar mengenakan caj perkhidmatan dan kami sedang memantau perkara ini," katanya.

GST, CBP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain