suria

Pati Di Sarawak Sembunyi, Lari Elak Ditahan - Imigresen

PETALING JAYA: Pendedahan mengenai kehadiran lebih 80,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sarawak baru-baru ini mendorong warga negara jiran itu bertindak bersembunyi atau melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan berkata, beliau percaya pendedahan itu akan menyebabkan Pati bimbang kedudukan mereka di negeri ini secara haram akan terancam.

“Kita tahu Sarawak adalah sebuah negeri yang luas tetapi kita percaya mereka (Pati) mungkin akan cuba bersembunyi di kawasan hutan atau ceruk-ceruk kampung bagi mengelak dikesan atau melarikan diri dari negeri ini melalui laluan-laluan tikus.

“Bagaimanapun, kita akan terus mempergiatkan operasi di semua lokasi yang disyaki menjadi tempat tumpuan dalam usaha untuk membanteras Pati di negeri ini” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Selasa lalu, Hamfatullah Syawal mendedahkan bahawa berdasarkan sumber risikan agensi penguatkuasa mengesan kehadiran kira-kira 80,000 Pati di Sarawak.

Sehubungan itu katanya, operasi bagi membanteras Pati di negeri itu akan diperhebatkan secara besar-besaran melalui operasi bersepadu dan berkala.

Tambahnya, Imigresen Sarawak menjalankan sebanyak 106 operasi membanteras Pati sejak Januari sehingga 10 April lalu.

“Seramai 1,813 warga asing yang kita periksa, dan daripada jumlah itu, 578 Pati yang ditangkap kerana melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen.

“Daripada 578 Pati yang ditangkap, 70 peratusnya dari Indonesia, 29 peratus (Filipina), 0.5 peratus (Pakistan), 0.3 peratus (Thailand) dan 0.2 peratus (China),” kata Hamfatullah Syawal. 

Hamfatullah Syawal berkata, pada masa sama tumpuan diteruskan di semua bahagian di Sarawak terutama di kawasan perladangan dan pembinaan. 

“Kebanyakan operasi yang kita buat adalah di ladang-ladang dan kawasan pembinaan,” katanya. 

Mengenai operasi bersepadu, katanya, pada masa ini sebanyak sembilan agensi yang terlibat iaitu Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain itu, ia turut melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Tanah dan Survei, pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hamfatullah Syawal berkata, terdapat perancangan untuk melibatkan tiga lagi agensi penguatkuasa bagi mempergiatkan operasi membanteras Pati secara besar-besaran.

“Ia nanti akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Unit Keselamatan Negeri,” katanya.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, operasi bersepadu secara besar-besaran terus dipergiatkan di Sarawak bagi menangani kebanjiran Pati di negeri itu di samping menjadikan isu berkenaan yang berlaku di Sabah dan Cameron Highlands, baru-baru ini sebagai pengajaran.

Artikel Lain