suria

Khidmat Seks Secara Membida Kalungan Bunga

Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Dengan hanya membeli kalungan bunga, pelanggan yang mengunjungi beberapa pusat hiburan di ibu kota boleh membida untuk mendapatkan khidmat seks yang ditawarkan pelayan pelanggan (GRO).

Pusat hiburan terbabit akan menyediakan kalungan bunga dengan nilai harga antara RM50 hingga RM500 untuk pelanggan premis terbabit dan pelanggan akan membuat bidaan terhadap GRO dengan pembida tertinggi akan mendapat khidmat seks.

Selain itu, para pelanggan juga akan mendapat tarian khas daripada gadis yang 'dibida'. Itu merupakan satu "kelainan" yang dibuat oleh pusat hiburan terbabit "bagi merancakkan kegiatan pelacuran".

Supritendan Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Razali Abu Samah ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan modus operandi terbaru itu hasil pemantauan dan risikan berikutan maklumat orang awam.

"Pelanggan akan membida gadis kalung bunga dengan harga yang tinggi...Jika pelanggan membeli lebih bunga yang dijual, mereka akan mendapat khidmat seks daripada penjual bunga terbabit.

Pelanggan boleh melakukan aktiviti itu sama ada menyewa hotel atau di rumah pelanggan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cara ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa dengan beroperasi tanpa bergantung kepada sesuatu premis serta menjalankan kegiatan tidak bermoral itu di lokasi lebih strategik seperti di hotel bajet atau kediaman mereka.

Sementara itu, Razali berkata pihaknya telah mengeluarkan 60 saman dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini terhadap rumah urut di ibu negara atas pelbagai kesalahan berbanding 13 saman dalam tempoh sama tahun lepas. 

"Kelicikan pengendali beberapa rumah urut yang menjalankan aktiviti pelacuran secara haram kini menggunakan strategi antaranya beroperasi di luar premis dan dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan perkhidmatan pelacuran yang beroperasi secara dalam talian.

Katanya hampir 50 laman web di negara ini kini dalam perhatian pihak berkuasa yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran secara bersembunyi dengan mengenakan bayaran khas untuk mendapatkan pelanggan, selain membuat temu janji di lokasi tertentu.

"Hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk bantuan maklumat daripada orang awam, pencapaian yang memberangsangkan ini menunjukkan kejayaan pihak berkuasa dalam memintas kelicikan dan menumpaskan aktiviti haram mereka," katanya.

Pelacuran

Artikel Lain