suria

Polis Letupkan Grenad Di Stesen Minyak

Bungkusan berisi grenad ditemui di Stesen Minyak Shell di Jalan Kulim, Bukit Mertajam pada Isnin. - fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Polis meletupkan satu bungkusan hitam dipercayai mengandungi grenad yang ditemui dalam tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim di sini, tengah malam Isnin.

Bom itu diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 12.05 tengah malam, kira-kira 10 meter di luar tandas stesen minyak itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, bom tangan itu diletupkan selepas pemeriksaan bomba mendapati kesan pemewapan gas yang terhasil daripada bahan api hanya lima peratus.

"Polis mengambil kira keadaan persekitaran stesen minyak itu sebelum meletupkan bom berkenaan," katanya di tempat kejadian di sini.

Bungkusan hitam dipercayai berisi grenad itu ditemui oleh orang awam yang menggunakan tandas berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang Isnin.

Berikutan penemuan itu, polis menutup kawasan berkenaan dan memindahkan beberapa penduduk berhampiran stesen minyak itu sejak pukul 7 petang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beberapa jentera bomba dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) turut berada di kawasan berkenaan.

Rusli berkata, operasi stesen minyak berkenaan ditutup sebaik sahaja bahan letupan itu ditemukan.

Beliau berkata, polis akan meneliti CCTV yang terdapat di stesen minyak berkenaan bagi mengesan pihak yang meletakkan bom tangan tersebut di tandas itu.

"Motif kejadian tidak diketahui dan polis akan memanggil pemilik dan pekerja stesen minyak berkenaan bagi menjalankan siasatan.

"Pemilik stesen minyak itu juga dikatakan tidak menerima sebarang ugutan," katanya.

Rusli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa pemeriksaan dan ujian sebelum keputusan untuk membenarkan bom itu diletupkan.

"Kami takut jika meletup , apinya akan merebak ke stesen minyak tetapi Alhamdulillah semua terkawal," katanya.

PDRM, grenad, stesen minyak

Artikel Lain