suria

Rumah Mangsa Pesawat Lima Terhempas Masih Tak Berubah

Zulkeflee sebak mengenangkan nasib keluarganya yang kini terpaksa menyewa di sebuah rumah kecil di Langkawi.

KUALA LUMPUR: Sebulan selepas pesawat Indonesia yang menyertai Lima 2015 di Langkawi terhempas dan merosakkan rumah di kawasan berhampiran tapak pameran antarabangsa itu, perbalahan antara pemilik kediaman itu dan penganjur program berkenaan dikatakan masih berlarutan.

Pekerja hotel, Zulkeflee Abu Mutalib mendakwa rumah yang didiaminya sejak 19 tahun lalu itu rosak dan hingga kini tidak diganti kerana tiada persetujuan dicapai mengenainya.

"Penganjur dan saya saling berhubung sejak kejadian itu berlaku.

"Saya tunjukkan lakaran rumah saya yang musnah dengan harapan mereka akan pertimbangkan untuk membina semula tetapi mereka menawarkan rumah yang lebih kecil hingga menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran itu," katanya yang menemui penganjur, Pengarah Urusan HW Lima, Ahmad Dzuhri Abd Wahab pada Sabtu lalu.

Baru-baru ini, Ahmad Dzuhri melawat Zulkeflee di rumah sepupunya di PPR Batu Muda, Jalan Ipoh dan memberi jaminan kediaman keluarganya di Langkawi akan siap sebelum Ramadan pada Jun.

"Kami masih membincangkan mengenai lakaran susun atur rumah itu," katanya.

Bagaimanapun kata Zulkeflee, bahan yang digunakan untuk membaik pulih kediamannya itu juga tidak memuaskan hatinya kerana tidak berkualiti.

Katanya lagi, ketika ini, dia perlu menyewa sebuah rumah untuk keluarganya selepas kejadian itu.

Lebih mengusarkan Zulkeflee apabila bapanya yang berusia 70 tahun, Abu Mutalib Said koma selepas menyaksikan kejadian pesawat terhempas itu.

"Saya berjanji kepada isteri akan hanya pulang dengan berita baik, jadi saya akan terus tinggal di sini, sehingga penganjur berikan sesuatu yang lebih kukuh kepada kami sekeluarga," katanya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di Langkawi.

Zulkeflee Abu Mutalib, Langkawi, Lima

Artikel Lain