suria

Restoran Disaran Nyatakan Jumlah Kalori Makanan

Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam merasmikan pameran kesihatan 'The Star Health Fair 'Fitforlife' 2015' di Mid Valley Exhibition Centre. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media The Star yang juga CEO Star Publications ( Malaysia ) Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai ( tengah )dan Pengarah Great Eastern Life, Datuk Koh Yaw Hui .

KUALA LUMPUR: Pihak restoran disaran agar menyatakan jumlah kandungan kalori makanan yang disediakan mereka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ia bertujuan bagi memberitahu orang ramai tentang jumlah kalori yang mereka ambil.

"Semua makanan dalam tin menyebut jumlah kandungan kalori. Oleh itu adalah lebih baik jika pihak restoran turut berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kesihatan 'The Star Health Fair 'Fitforlife' 2015' di sini, Sabtu.

Beliau berkata data Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) malaporkan sekurang-kurangnya 63 peratus golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas mempunyai risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama bagi menangani NCD melalui amalan pemakanan sihat atau gaya hidup sihat, katanya.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) berkaitan insurans kesihatan, Dr Subramaniam berkata kementeriannya telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk membuat semakan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan terpaksa mengambil masa untuk mengkajinya kerana mereka turut menerima banyak permintaan daripada kementerian lain.

"Orang ramai telah merayu kepada saya dan sebagai menteri kesihatan saya telah membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Lebih 70 pempamer mengambil bahagian pada pameran tiga hari itu anjuran akhbar The Star dan syarikat insurans hayat Great Eastern Life Assurance (M) Berhad.

Kalori, Kesihatan

Artikel Sebelum

Artikel Lain