suria

Kerajaan Pusat Beli Tanah Untuk Bina Rumah Mangsa Banjir

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama Keluarga Nor Azizah Nafi,34, (kanan) ketika melakukan tinjauan ke lokasi penempatan mangsa banjir di rumah transit kerajaan negeri di sekitar Dabong sempena lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ketua Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed (kiri).

KUALA KRAI: Kerajaan pusat akan membeli atau mengambil balik tanah penduduk untuk pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir di negeri ini pada Disember tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan segera kerajaan untuk mengatasi masalah ketiadaan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal berkenaan.

"Jawatankuasa Pembangunan Pasca Banjir telah diarahkan untuk segera mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai bagi pembinaan rumah kekal itu dan ia berdekatan dengan rumah asal mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja pasca banjir di Dabong di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menggunakan peruntukan RM700 juta yang disediakan sebelum ini untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, untuk tujuan penyediaan tanah tersebut.

Beliau berkata terdapat 1,918 buah rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kelantan dan hanya lima buah sahaja yang telah siap dibina, disebabkan faktor ketiadaan tanah.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan tanah yang sesuai akan turut dibincangkan dan mendapatkan persetujuan daripada mangsa banjir yang akan mendudukinya supaya apabila rumah kekal siap dibina, mereka bersedia untuk mendiami rumah berkenaan.

Beliau yang tidak dapat menjangkakan tempoh kesemua rumah kekal itu dapat disiapkan, berkata jawatankuasa berkenaan akan melantik kontraktor tempatan bagi membina rumah berkenaan.

Muhyiddin juga berkata sebanyak 1,858 buah rumah telah dikenal pasti rosak akibat banjir di Kelantan dan kerja membaik pulih yang melibatkan peruntukan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah sedang dilakukan.

Beliau menjangkakan kesemua rumah yang rosak itu akan siap dibaik pulih pada Jun depan dan beliau juga mahukan rumah transit segera disediakan kepada mangsa yang masih tinggal dalam khemah sementara menunggu rumah kekal siap.

Katanya beliau sendiri akan membuat pemantauan setiap bulan bagi memastikan kerja pembinaan rumah kekal dan membaiki rumah yang rosak itu berjalan lancar.

"Saya minta maaf jika ada mangsa yang sudah lama menunggu (untuk mendapatkan rumah kekal), jangan marah kepada kerajaan, kami sudah ada perancangan ke arah penyediaan tanah bagi pembinaan rumah kekal itu.

"Jika tanah hendak diambil balik, (pemilik tanah) tolong berikan, bukan ambil percuma tetapi dibayar ikut harga pasaran, tuan-tuan tanah, kami perlukan sokongan (anda)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat sedang membantu memulihkan pendapatan penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu termasuk menyediakan dana sebagai modal.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan sedang membaik pulih sekolah-sekolah yang rosak akibat banjir bagi memastikan keselesaan pelajar dan guru serta sedang membaik pulih infrastruktur lain yang rosak seperti jalan raya dan jambatan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong.

Muhyiddin yang sedang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini, terdahulu mempengerusikan mesyuarat pasca banjir negeri Kelantan di Pejabat Kesedar, Dabong di sini, sebelum meninjau lokasi penempatan mangsa banjir di Dabong.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Dabong Datuk Ramzi Abd Rahman.

Artikel Lain