suria

Umno Wilayah Persekutuan Ikrar Taat Setia Kepada Najib

Tengku Adnan Tengku Mansor.
BENTONG: Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan pada Sabtu melafazkan ikrar taat setia tanpa berbelah-bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pada masa yang sama, mereka juga menyampaikan rasa hormat yang sangat tinggi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mutakhir ini, kita melihat banyak komen-komen yang dilemparkan kepada Najib yang juga Presiden Umno dan Dr Mahathir yang sudah banyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara ini" katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi menyokong kepimpinan Najib di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi di sini Sabtu.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Bendahari Umno Wilayah Persekutuan Datuk Johari Ghani.

Tengku Adnan berkata berikutan kritikan terhadap kepimpinan Najib baru-baru ini, Dr Mahathir yang banyak berjasa kepada negara itu juga kini menerima komen negatif daripada banyak pihak.

"Kami sememangnya tidak pernah bersetuju dengan komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap Najib yang sudah melakukan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara sebagai Perdana Menteri," katanya.

Tengku Adnan berkata musuh sebenar Umno adalah tentangan daripada gabungan parti-parti pembangkang dan bukannya bertelagah sesama sendiri atas isu-isu yang dilihat bersangkut dengan kepentingan peribadi.

Beliau berkata seharusnya semua pihak menyokong dan memberikan peluang kepada Najib untuk melaksanakan segala program transformasi yang telah direncanakan demi faedah rakyat dan negara.

"Keutamaan kami ialah memperkasakan perjuangan Umno dan mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap parti bukannya terjebak dan terheret dengan isu-isu yang sengaja diputarbelitkan oleh pihak oportunis dan berkepentingan," katanya.
ikrar, taat setia, Najib Tun Razak

Artikel Lain