suria

Kadar Bayaran Baharu Lesen Memandu Masih Di Peringkat Kajian - JPJ

Yusoff Ayob (dua kanan) membantu peserta program SKSJ, Dolah Endun (dua kiri) memakai topi keledar pada majlis penutup program berkenaan di Melaka pada Sabtu. - fotoBERNAMA
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dalam peringkat kajian dalam menetapkan kadar bayaran baharu bagi mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal berikutan peraturan baharu yang menetapkan pemohon lesen hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang. 

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob berkata perkara itu mengambil sedikit masa untuk diputuskan kerana ia turut melibatkan kajian semula struktur peperiksaan dan kurikulum bagi gabungan kedua-dua ujian berkenaan.

"Buat sementara ini harga bagi ujian memandu masih kekal pada harga siling yang ditetapkan JPJ kepada institut latihan memandu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Kawasan Klebang di sini Sabtu.

Pada program berkenaan, sejumlah 261 calon berjaya memperoleh lesen memandu kelas B2 melibatkan 145 orang dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (73) dan Jasin (43).

Sebelum ini dilaporkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad menjangkakan penurunan kadar bayaran yuran ekoran pengumuman Kementerian Pengangkutan bahawa individu yang ingin mengambil lesen memandu kereta dan motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang.

Pada masa ini JPJ telah menetapkan kadar bayaran atau harga siling sebanyak RM350 bagi lesen B2 (motosikal) kepada institut memandu manakala RM1,150 bagi kereta manual dan RM1,250 untuk kereta automatik.

Yusoff berkata harga siling yang dikenakan itu tidak termasuk kos lain seperti pengangkutan dan kemudahan lain yang disediakan institut memandu di negara ini.

Mengulas mengenai program SKSJ, beliau berkata 77,769 calon telah lulus ujian dan mendapat lesen memandu B2 sejak program itu diperkenalkan pada 2009 sehingga kini, dengan 2,808 orang adalah dari Melaka.

Beliau berkata melalui program tersebut, calon hanya perlu membayar RM170 bagi mendapatkan lesen berkenaan berbanding jika mengambilnya di institut memandu.

"Program ini membantu masyarakat luar bandar khususnya mereka yang berusia 45 tahun ke atas bagi kaum lain sementara 21 tahun ke atas bagi kaum Orang Asli yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan lesen disebabakan masalah kewangan dan tiada kemahiran menggunakan komputer," katanya.
JPJ, lesen memandu

Artikel Lain