suria

JPM Rangka Gerak Kerja, Segera Tangani Isu Berbangkit - Ahmad Zaki Ansore

Rumah mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan yang kini 90 peratus hampir siap.

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri kini sedang giat merangka gerak kerja untuk mempercepatkan proses pembinaan semula rumah mangsa banjir di negeri yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Ketua unit berkenaan, Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof berkata, pihaknya akan berbincang dengan pasukannya di setiap negeri untuk mengenal pasti isu berbangkit bagi melicinkan urusan pembinaan dan membaik pulih rumah berkenaan.

"Kita akan teliti setiap isu yang dikemukakan di peringkat negeri dan berharap dapat mencari penyelesaian dengan kadar segera," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Menerusi program Soal Jawab Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di televisyen pada malam Khamis, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan semula kediaman mangsa banjir di Kelantan.

Kira-kira 50,000 rakyat Kelantan menjadi mangsa bencana yang melanda pantai timur negara pada Disember lalu.


Ahmad Zaki berkata, berdasarkan kerja yang dilaksanakan, tempoh masa untuk membaik pulih rumah adalah antara dua hingga empat minggu, manakala pembinaan rumah baharu ditetapkan dalam masa 75 hari.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini rumah yang mempunyai tanah hampir 70 peratus siap.

"Mungkin dalam tempoh sebulan ini kita boleh menangani masalah di kawasan yang terjejas di Kelantan," katanya.

Ahmad Zaki juga tidak menafikan sukar untuk menyiapkan pembinaan rumah mangsa banjir mengikut tempoh ditetapkan kerana ia melibatkan pelbagai peringkat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumbalas dan pemantauan yang dijalankan, wujud kesulitan dalam urusan penentuan dan kelulusan tanah untuk tapak rumah.

Pembinaan rumah baharu untuk mangsa banjir di Kampung Kusial, Tanah Merah, Kelantan.

"Saya tak boleh jangka tempoh sebenar untuk menyiapkan kerja pembinaan dan baik pulih rumah kerana ia diluar bidang kuasa. Ia melibatkan banyak proses dan setiap proses itu memakan masa.

"Apabila tapak dah dikenal pasti, ia ambil masa sebulan untuk lantik juruukur. Kita tak boleh lantik secara terus, ia perlu dibuat secara tender. Jadi ia bukan proses singkat," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain