suria

Nahas Helikopter: Mayat Aidana Baizieva Dituntut Keluarga

Selepas lima hari, akhirnya mayat Aidana dituntut keluarganya pada petang, Khamis.

KUALA LUMPUR: Mayat Aidana Baizieva, mangsa nahas helikopter terhempas di Semenyih dituntut oleh keluarganya dan wakil kedutaan Kyrgyzstan di Hospital Kuala Lumpur petang Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mayat warga Kyrgyzstan itu dituntut kakak tirinya, Luisa Baizieva bersama seorang wakil kedutaan itu pada pukul 5.30 petang.

Mayatnya yang diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan mayat tempatan, kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk diterbangkan ke kampung halamannya dengan penerbangan Air Astana, dijangka pada pukul 10.55 pagi esok, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan hasil ujian DNA mangsa dan kakak tirinya, dan kini isu mayat kesemua enam mangsa nahas helikopter Dauphin AS365N2 (9M-1GB) yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada petang Sabtu telah selesai.

Katanya, pihaknya bersama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini sedang menjalankan siasatan punca nahas itu.

Selain Aidana, mereka yang maut dalam nahas itu terdiri daripada Anggota Parlimen Rompin dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razkan B Seran dan juruterbang Kapten Clifford Fournier.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain