suria

Kerajaan Masih Gagal Kemuka Maklum Balas Syor PAC

Datuk Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR: Kerajaan sehingga hari ini masih gagal mengemukakan sebarang maklum balas kepada syor-syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung sesuatu kes, walaupun Laporan Mesyuarat PAC telah dibentangkan di Parlimen sejak November 2013.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini bertentangan dengan Peraturan Arahan Perbendaharaan Perenggan 304(b) yang menetapkan beberapa tindakan perlu diambil Perbendaharaan Malaysia selepas Laporan Mesyuarat PAC dibentangkan di Parlimen.

"Perbendaharaan Malaysia sepatutnya menyedia dan mengemukakan satu memorandum muktamad kepada PAC mengenai perkara-perkara yang dinyatakan dalam Laporan Mesyuarat Jawatankuasa berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada Pegawai-Pegawai.

"Memorandum ini perlu disediakan dengan segera dan sepatutnya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa yang berikutnya untuk makluman dan tindakan lanjut yang perlu," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini Khamis.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini Perbendaharaan Malaysia gagal mengikuti peraturan berkenaan kerana masih gagal mengemukakan sebarang maklum balas kepada PAC.

Katanya lagi semua syor yang dimaklumkan PAC dalam Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen sama ada tidak diikuti atau tidak langsung  dimaklumkan kepada jawatankuasa berkenaan.

"Sebagai contoh, syor PAC dalam laporan bagi projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang dibentangkan pada 25 November 2014 untuk membenarkan Jabatan Audit Negara mengadakan audit keseluruhan terhadap segala penemuan yang dibuat PAC atas dasar kepentingan kerajaan, sehingga ke hari ini gagal dilakukan".

"Sesuatu yang menghairankan apabila kerajaan boleh mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap syarikat 1MDB (1Malaysia Development Bhd) tetapi tidak melakukan terhadap klia2 seperti yang disyorkan dalam laporan PAC," katanya.

Sementara itu, ketika membentangkan laporan tahunan PAC, Nur Jazlan berkata sepanjang 2014 PAC, mengadakan prosiding sebanyak 27 kali membabitkan 15 kementerian.

Bagi 2015 bermula 17 Mac hingga semalam, sebanyak 12 prosiding diadakan membabitkan 13 kementerian.

PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Berikut

Artikel Lain