suria

Ahli Perniagaan Malaysia Harus Rebut Peluang Di Indonesia - Muhyiddin

Muhyiddin (kanan) mengadakan perjumpaan bersama ahli-ahli perniagaan Malaysia di Indonesia yang dinaungi oleh Kamar Dagang dan Industri (KADIN), sempena lawatan kerja rasmi tiga hari di Jakarta, Indonesia di Jakarta.

JAKARTA: Malaysia mahu ahli perniagaanya merebut peluang perniagaan di Indonesia secara agresif, selari dengan langkah kerajaan negara ini melakukan transformasi ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, reformasi ekonomi negara itu melibatkan pembangunan fizikal seperti projek pembinaan pelabuhan, empangan, jalan raya serta loji janakuasa elektrik yang menyumbang ke arah aspirasi pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus di republik ini menjelang 2019.

"Malaysia menyambut baik langkah-langkah reformasi ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Joko Widodo, dan menyifatkannya sebagai suatu ruang yang harus dimanfaatkan oleh Malaysia dan negara-negara anggota Asean.

"Saya percaya bahawa syarikat-syarikat Malaysia amat berminat untuk menyumbang dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Indonesia dalam menjayakan projek-projek pembangunan baharu Indonesia," katanya pada majlis Pertemuan Bersama Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) di sini, Rabu malam.

Katanya, kerajaan Indonesia memerlukan pelaburan sebanyak kira-kira AS$420 bilion untuk projek pembangunan negara itu dari 2015 hingga 2019 dan daripada jumlah itu kira-kira 40 peratus memerlukan sumbangan swasta.

Muhyiddin berkata, integrasi ekonomi melalui Komuniti Asean juga merupakan  pemudah cara utama bagi pelaburan dan perdagangan di rantau ini, dan ahli-ahli perniagaan Indonesia secara kompetitif mahu memperluaskan perniagaan mereka di negara Asean termasuk Malaysia.

Katanya, ahli perniagaan di rantau ini juga perlu mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai gagasan Komuniti Asean tahun ini, dan seterusnya mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud.

Beliau juga menggesa Majlis Perniagaan Malaysia-Indonesia dan Kadin meningkatkan hubungan masing-masing dalam usaha membuka pasaran perniagaan antara kedua-dua negara.

"Saya ingin menyarankan agar ketiga-tiga pihak dapat mengenal pasti potensi perniagaan dan seterusnya membantu pihak yang berminat untuk bekerjasama dalam merealisasikan hubungan perniagaan tersebut," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berada di Jakarta sempena lawatan kerjanya selama tiga hari sejak Selasa lepas dan telah mengadakan pertemuan empat mata bersama Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.-- Bernama


Artikel Lain