suria

15 Motosikal Rosak Ditimpa Bumbung Tangki Air Flat

Sebahagian daripada bumbung zink tangki air rumah pangsa Seri Delima Blok 3 di Sungai Ara runtuh dan menghempap parkir motosikal kira-kira pukul 2 pagi Khamis akibat dilanda ribut.

GEORGE TOWN: Lima belas motosikal rosak apabila bumbung tangki air di Blok 3 Flat Seri Delima, Sungai Ara di sini diterbangkan angin kencang awal pagi Khamis.

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan selepas bumbung yang diterbangkan itu jatuh ke kawasan parkir yang menempatkan motosikal berdekatan blok lima tingkat berkenaan pukul 2 pagi.

Setiausaha Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad Rameli Budin berkata struktur penyokong bumbung yang diperbuat daripada kayu itu sepatutnya diganti besi tahun ini.

"Terdapat enam blok kesemuanya, lima yang lain telah diganti (besi) secara berperingkat tahun lepas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata flat yang dibangunkan koperasi itu pada tahun 1996 diselenggara secara berjadual dengan tempat parkir kenderaan itu dinaik taraf beberapa tahun lepas.

"Mujur ketika kejadian, penduduk yang kadangkala bersantai di kerusi batu berdekatan parkir tidak berada di situ kerana hujan lebat semalam," katanya yang turut tinggal di blok berkenaan sejak 2005.

Seorang penduduk, Mazlan Osman, 55, berkata ketika kejadian beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari rumahnya yang terletak di tingkat empat.

"Bila pak cik turun, nampak bumbung parkir dah ranap. Habis motor Yamaha Lagenda pak cik...baru pakai enam bulan," katanya yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin ketika dihubungi berkata laporan polis telah dibuat beberapa pemilik motosikal berhubung kejadian itu.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain