suria

Fomca Kesan Peniaga Naikkan Harga 30 Peratus Selepas GST

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhd Yusof Abdul Rahman (kanan) bersama kakitangan beliau ketika membuat pemeriksaan harga jualan pada operasi Pemantauan Pematuhan 'GST' di sebuah pasaraya di sini hari ini. Sejumlah 30 orang kakitangan Fomca turun pada operasi tersebut bagi memantau harga barangan yang dijual bersempena harga selepas dikenakan GST mengikut jenis barangan yang terpilih.

KELANA JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendakwa terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan sehingga 30 peratus selepas kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, dalam tinjauan yang dilakukan Fomca di sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya di sini pada Rabu, terdapat barangan yang diletakkan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan pada buku 'Harga Panduan Pengguna'.

Buku berkenaan dikeluarkan oleh  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memudahkan pengguna menyemak harga barangan selepas GST diperkenalkan.

"Mereka mengambil keuntungan sendiri, malah tidak mengikut piawaian yang ditetapkan sehingga membebankan pengguna.

"Peniaga licik turut mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan dengan meletakkan harga pada label yang berbeza dengan resit selepas pembayaran dilakukan," jelasnya pada sidang media Pemantauan Pematuhan Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST) Fomca.

Tambah Mohd Yusof, Fomca akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap peniaga atau premis yang tidak meletakkan harga sebelum dan selepas GST.

"Kami akan merekodkan mana-mana premis atau peniaga yang tidak mematuhi harga barangan yang ditetapkan dan akan memaklumkan kepada KPDNKK untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut Yusof, Fomca mendapati, terdapat peniaga cuba mengelirukan pengguna sejak 1 April lalu dan tindakan itu dipercayai untuk mengaut keuntungan tambahan.

Sementara itu, Mohd Yusof memberitahu, Fomca telah menerima lebih 1,000 aduan sejak GST diperkenalkan.

"Pihak kami menerima lebih 1000 aduan sehingga ke hari ini (Rabu) mengenai peniaga yang cuba mengenakan caj GST sedang mereka tidak berdaftar sebagai peniaga yang dikenakan cukai berkenaan.

Fomca, GST

Artikel Berikut

Artikel Lain