suria

Lelaki Maut Berbalas Tembakan Dengan Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bertindak nekad untuk lari daripada pemeriksaan polis, maut dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota polis di Gombak awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata dalam kejadian itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor telah mengekori sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih dipandu seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sungai Tua, Gombak, pada 1.20 pagi.

Ali berkata ketika anggota polis cuba menghampiri kereta itu untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek secara tiba-tiba memecut laju kereta dipandunya itu menyebabkan pasukan polis mengejarnya dan cuba menahan kereta berkenaan sambil memberi amaran supaya berhenti.

"Namun suspek yang memandu kereta itu enggan berhenti dan cuba merempuh kenderaan anggota polis secara berbahaya.

Apabila sampai di jalan menghala ke Ulu Yam, kereta dipandu suspek telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan. Suspek telah keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan dan salah satu tembakan mengenai baju kalis peluru yang dipakai salah seorang anggota polis.

"Demi mempertahankan diri dan pasukan, salah seorang anggota polis membalas beberapa das tembakan ke arah suspek," katanya.

Ali berkata polis kemudiannya membuat pemeriksaan ke atas suspek yang ketika itu telah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama sepucuk pistol jenis Smith and  Wesson berkaliber .22, yang ditemui berhampiran tangan kanan suspek.

"Hasil pemeriksaan awal butiran diri suspek mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan berasal dari Johor, katanya menambah kereta dipandu suspek dilaporkan hilang di Kepong.

Polis, Penjenayah, Tembak, Gombak

Artikel Lain