suria

Kerja Pembersihan Di Lokasi Nahas Helikopter Siap Hari Ini - Tiong Lai

Beberapa orang pakar dari Airbus Helikopter Malaysia dan Engine Manifacture Turbomecca France turut hadir untuk memberi kerjasama bagi menjalankan siasatan di kawasan kejadian helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada Sabtu lalu di sini, Selasa.

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja membawa keluar bangkai helikopter yang terhempas di Semenyih, Selangor akan disiapkan sepenuhnya hari ini bagi membolehkan penduduk setempat melakukan aktiviti biasa mereka, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, semua bahan dan serpihan yang dikeluarkan akan dikumpulkan di satu tempat selamat bagi proses siasatan dan analisa.

"Kami harap hari ini boleh bersihkan kawasan itu. Kami mahu membersihkan  kawasan itu secepat mungkin bagi membolehkan aktiviti lain penduduk di situ diteruskan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Selasa.

Dalam kejadian Sabtu lepas, anggota Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis merupakan antara enam yang terkorban apabila elikopter Dauphin AS365N2 yang dinaiki mereka dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada kira-kira 4.45 petang.

Tiong Lai yang juga anggota Parlimen Bentong berkata setakat ini pihak bomba dan polis memberikan kerjasama yang baik kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan segala kerja pembersihan di kawasan itu berjalan lancar.

"Kami berharap proses siasatan dan analisis juga dapat dijalankan dengan segera bagi membolehkan laporan awal dikeluarkan secepat mungkin," katanya.

Lima lagi mangsa ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.-- Bernama

Semenyih, helikopter, Liow Tiong Lai

Artikel Lain