suria

8 Rakyat Malaysia Dijangka Tiba Di KLIA Hari Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama rakyat Malaysia iaitu seramai 78 orang yang dipindahkan dari Yaman berikutan pergolakan di negara itu, akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Selasa.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Isnin berkata, kesemua mereka akan berlepas dari Jeddah menaiki beberapa syarikat penerbangan dan dijangka tiba pada waktu berlainan.

"Kumpulan ini akan diterbangkan pulang ke Malaysia dari Jeddah. Penerbangan melalui syarikat penerbangan Malaysia Airlines MH 151 iaitu seramai 29 orang akan tiba kira-kira 11 pagi.

"Penerbangan Sri Lankan Airlines UL314 iaitu seramai tiga orang tiba 2.05 petang, Emirates EK346 (38 orang) dijangka tiba 3.05 petang manakala Qatar Airways QR852 (lapan orang) dijangka tiba 8.50 malam," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 156 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Yaman berikutan pergolakan di negara itu, dijangka pulang ke tanah air mulai Selasa.

Pada Isnin, Kedutaan Besar Malaysia di Sana'a dan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh serta Konsulat Jeneral di Jeddah telah memulakan fasa pertama usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman. 

Seramai 108 rakyat Malaysia dari Sana'a dan 44 dari Hudaidah telah dipindahkan melalui laluan darat ke Arab Saudi manakala bagi fasa kedua pula, ia melibatkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Aden dan wilayah Hadramaut.
Yaman, Kementerian Luar

Artikel Lain