suria

Guru Rugi RM130,000 Ditipu Warga Nigeria Menyamar 'Mat Salleh'

KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan kata-kata manis "kekasihnya" yang tidak pernah ditemui, seorang guru wanita tempatan kerugian RM130,000 akibat tertipu setelah terjebak dengan satu sindiket 'Love Scam', kata polis.

Mangsa yang berusia 42 tahun itu dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki 'Mat Salleh' berumur 36 tahun, melalui laman sosial Facebook, dan beberapa kali menyerahkan wang berjumlah RM130,000 kepada lelaki itu dalam tempoh dua bulan perkenalan mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, mangsa kemudian bertemu buat pertama kali dengan suspek di lobi Cabana Inn, Jalan Perak, di sini Sabtu lepas untuk menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada lelaki berkenaan. 

"Suspek yang sebelum ini menyamar sebagai seorang 'Mat Salleh', sebenarnya seorang lelaki warga Nigeria dan menyerahkan sebuah beg jenama Slazenger yang di dalamnya mengandungi sebuah beg bimbit jenama Polo yang terdapat sejumlah wang kertas AS$100 yang diragui kesahihannya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya, suspek ditahan pada pukul 2 petang selepas wanita terbabit menghubungi polis kerana meragui ketulenan wang itu.

"Setibanya polis di lokasi kejadian, wanita berkenaan telah menunjukkan kepada polis pemilik beg. Suspek merupakan seorang pelajar universiti swasta di ibu negara dan menahan lelaki itu bersama barang kes untuk tindakan selanjutnya.

"Setelah pemeriksaan menyeluruh ke atas beg mendapati sebanyak 71 bungkusan wang AS$100, kesemuanya berjumlah AS$22,100 yang disyaki palsu dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pemalsuan wang," katanya.

Zainol berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod memasuki negara ini sejak seminggu lepas dan juga pernah berada di negara ini dalam tempoh lama.

Suspek kini ditahan reman empat hari sehingga Rabu untuk sisatan lanjut di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaaan kerana memiliki wang palsu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun.

Mengenai perkembangan siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari tingkat dua di kompleks beli-belah Kenanga Wholesale City Mall baru-baru ini, Zainol berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.

"Kita akan siasat sama ada ia melibatkan kecuaian ibu bapa ataupun prasarana di tempat berkenaan. Kita telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah untuk melihat kemungkinan dari pelbagai sudut," katanya.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat dua kompleks berkenaan pada 3.04 petang ketika kanak-kanak itu dipercayai sedang bermain di eskalator.

Love Scam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain