suria

Audit: SPRM Mula Siasat Kes Beli Perabot Guna Dokumen Palsu Di Kem PGA

Ali Hamsa bersama Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang (kanan) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kiri) menunjukkan buku Laporan Ketua Audit Negara selepas Majlis Sesi Bersama Media Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2014 di sini, Selasa.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menjalankan siasatan berhubung pembelian perabot di kem Pasukan Gerakan Am di Johor yang menggunakan dokumen palsu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kes berkenaan adalah antara enam yang dijangka dikenakan tindakan punitif selepas didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014.

Kes berkenaan diteliti SPRM dan akan disiasat mengikut Akta SPRM 2009, kata Ali pada sesi bersama media berhubung laporan itu.

Laporan itu antara lain mendedahkan pembida tempatan tidak ditawarkan untuk mengemukakan sebut harga untuk pembelian perabot di Kem Batalion 5 PGA, Simpang Renggam, malahan ada pembayaran yang disokong dokumen palsu.

Lima lagi kes yang termasuk antara teguran berbentuk punitif dikeluarkan Ketua Audit Negara membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pertahanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Perbadanan Nasional Berhad.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan dibentuk untuk setiap kes terbabit di mana ia dianggotai pegawai kanan yang tiada kaitan dengan pihak yang disiasat.

Selain itu, katanya, laporan itu juga mengeluarkan teguran berbentuk pembetulan untuk 313 kes yang dikenal pasti.

Ali berkata, keseluruhannya jumlah item yang diketengahkan menerusi laporan Siri 1 ini menurun kepada 319 berbanding 418 sebelum ini.

Penurunan yang drastik itu berikutan peringatan yang berulang dan arahan berulang kali diberikan pegawai Audit, termasuk ketika mesyuarat ketua setiausaha di setiap kementerian.

Beliau berkata, isu yang diketengahkan menerusi laporan kali ini juga sering dibincangkan pada mesyuarat berkenaan di mana pihak kementerian diminta belajar daripada kesilapan yang dilakukan sesama mereka sebelum ini.

"Mungkin juga penurunan kes itu secara kebetulan, jadi kita perlu menunggu laporan seterusnya. Jika jumlah kesnya meningkat, ia menunjukkan kita masih tidak belajar daripada kesilapan lalu tetapi ia menurun tentu menunjukkan kawalan perbelanjaan diperketatkan di peringkat agensi dan kementerian," katanya.

Mengenai tindakan disiplin terhadap penjawat awam yang terbukti melanggar peraturan atau prosedur kerja, Ali berkata, setakat ini, 132 pegawai dikenakan tindakan, termasuk seorang dibuang kerja manakala selebihnya dikenakan pelbagai hukuman termasuk pemotongan gaji, denda, amaran, penangguhan gaji.


Artikel Lain