suria

Audit: PAC Akan Panggil 10 Kementerian

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil sepuluh kementerian sebelum sesi Parlimen akan datang untuk memberi keterangan berhubung kelemahan pelaksanaan program dan projek berkaitan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kementerian terbabit ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah; Kementerian Pertahanan; Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Kewangan; Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Kementerian lain ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Nur Jazlan berkata, antara isu penting yang berbangkit dalam Laporan Audit tahun ini ialah berhubung tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah yang berbentuk projek rundingan terus mengalami masalah.

Penjelasan juga bakal dituntut bagi dua projek di bawah Kementerian Pertahanan yang berbentuk rundingan terus dan bermasalah membabitkan Pengurusan Prasarana dan Transit Kuala Lumpur dan pembinaan serta pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak.

Katanya, jawatankuasa itu juga mendapati kelemahan terhadap pengurusan kuarters polis yang tidak sempurna di bawah KDN selain pengurusan Klinik Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam melaksanakan Program Ujian Khas Mamogram di bawah KPWKM.

Menurutnya, beberapa isu lain berkaitan termasuk Kementerian Kewangan yang melibatkan Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya selain Pengurusan RISDA di bawah KKLW.

"Kementerian akan memanggil KKMM bagi projek infrastruktur jalur lebar untuk orang ramai di Sabah dan Sarawak, projek TPM Biotech di bawah MOSTI dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Laporan Ketua Audit Negara 2014 pada tahap baik berikutan laporan awal tahun itu melibatkan nilai perbelanjaan projek yang sedikit berbanding pada akhir tahun.

Nur Jazlan berkata pihaknya akan memantau program kementerian seperti fungsi Mosti dalam memainkan peranan kepada masyarakat selain keberkesanan program KPDNKK dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk menganjurkan latihan keusahawanan.

Beliau berkata kerajaan perlu menilai semula projek yang melibatkan rundingan terus dan 'design and build' khususnya dalam bidang pembinaan kerana mendatangkan masalah.

Mengenai cadangan PAC agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung sementara program subsidi beras Super Tempatan (ST15), katanya jawatankuasa itu menegur program yang tidak mencapai matlamat.

"PAC akan memperbetulkan program yang berlaku pembaziran ataupun berlaku penyelewengan," katanya.

Audit, PAC, Nur Jazlan Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain