suria

Robert Tan IGB Corp Bukan Mangsa Nahas Helikopter - Donald Lim

Datuk Seri Robert Tan Chung Meng tidak berada dalam helikopter malang yang terhempas di Semenyih pada petang Sabtu.
KUALA LUMPUR: Pengasas IGB Corp Bhd, Datuk Seri Robert Tan Chung Meng bukan antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih semalam, menurut bekas Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai, yang merupakan sahabat Tan.  

"Saya ingin menegaskan bahawa itu (yang terkorban) bukan beliau (Robert Tan), (kerana) saya baru bercakap dengan beliau melalui telefon semalam. Beliau kini berada di Australia," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Nama Tan disebut pada mulanya kerana berlaku kekeliruan nama sama dilaporkan terbabit dalam nahas helikopter itu, iaitu seorang ahli perniagaan Kedah, Datuk Robert Tan Huat Seang.

Huat Seang, seorang daripada enam mangsa yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas itu, merupakan ketua pegawai eksekutif SP Baiduri Sdn Bhd.

Sementara itu, IGB REIT Management dalam satu kenyataan berkata Tan tidak berada di dalam helikopter itu dan beliau masih hidup dan dalam keadaan sihat.

"Berhubung insiden helikopter malang itu dan nyawa yang terkorban, berlaku silap lapor bahawa Datuk Robert Tan daripada IGB merupakan seorang daripada penumpang dalam penerbangan itu.

"IGP Corp Bhd akan mengeluarkan segera satu kenyataan rasmi mengenainya,"  menurut kenyataan itu.

Selain ahli perniagaan Kedah itu, yang turut terbunuh dalam nahas semalam ialah anggota Parlimen Rompin dan bekas Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis; Pengawal Peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran;  Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang  Kapten Clifford William Fournier dan pembantu operasi Aidana Baizieva.

Helikopter dengan enam penumpang termasuk juruterbang, terhempas di Semenyih dekat sini pada pukul 4.55pm semalam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan siasatan rapi diadakan terhadap insiden itu.

Artikel Lain