suria

Hudud PAS Hanya Untuk Raih Undi - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.
CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengkritik hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dengan menyifatkan ia sebagai 'tidak Islamik' dan hanya bertujuan untuk meraih undi.

Beliau menjelaskan bahawa hukum hudud mengalakkan keadilan dan undang-undang hudud yang dicadangkan PAS mengecualikan orang bukan Islam daripada hukuman dan oleh itu ia tidak adil.

"Di dalam al-Quran terdapat 43 ayat yang mengatakan bahawa apabila kamu menjatuhkan hukuman, anda mesti menghakiminya dengan adil. Tetapi dibawah hudud PAS, ia hanya diguna pakai terhadap orang Islam. Sekiranya orang Islam dan bukan Islam ditangkap kerana merompak, yang Islam akan dipotong tangannya manakala yang bukan Islam hanya dihukum penjara.

"Beritahu saya adakah ia adil? Sekiranya tidak adil, ia bukan Islamik," kata Dr Mahathir ketika menjawab soalan yang diajukan peserta persidangan kepimpinan 'What Youth Should Know' di sini Sabtu.

Dr Mahathir juga berkata niat PAS untuk melaksanakan hudud bukan atas sebab Islam tetapi demi politik.

"Niat PAS bukan untuk Islam. Ia hanya untuk memenangi pilihan raya dan membuktikan mereka lebih Islamik berbanding Umno. Sekiranya niat anda untuk politik, maka hudud yang anda cuba laksanakan tidak lagi bersifat Islamik.

"Umno Kelantan menyokong hudud tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mereka sokong," katanya.

Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum, kerajaan tidak mampu melaksanakan hudud di negara ini.

"Kami tidak boleh melaksanakan hudud di Malaysia kerana ia sebuah negara berbilang kaum. Tetapi terdapat undang-undang sedia ada yang mampu menegakkan keadilan.

"Saya percaya apabila anda menegakkan keadilan, maka anda sebenarnya menegakkan prinsip Islam," katanya.
hudud, Tun Dr Mahathir Mohamad, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain