suria

Caj Perkhidmatan Sedang Dikaji - Alias

Alias Ahmad.
PUTRAJAYA: Satu peraturan ke atas caj perkhidmatan yang biasanya dikenakan oleh hotel dan restoran sedang dipertimbangkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa kerja di peringkat kementerian itu sudah diwujudkan untuk meneliti perkara ini.

"Kami sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.

"Persatuan-persatuan yang mewakili hotel dan pekerja mereka turut terlibat dalam usaha ini dan kami berharap dapat satu jalan penyelesaian kepada perkara ini dalam masa terdekat," katanya dalam satu sidang media di sini Jumaat.

Alias berkata mesyuarat pertama yang dipengerusikannya diadakan pada Rabu lalu.

"Tidak banyak yang boleh didedahkan sekarang tetapi saya gembira untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa terdapat satu inisiatif bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Penyelesaian itu mungkin boleh jadi memansuhkan caj perkhidmatan atau menggantikan ia dengan peruntukan lain.

"Namun, perlu dinyatakan bahawa kutipan caj perkhidmatan itu adalah untuk pekerja dan bukannya kepada hotel atau pemilik restoran," katanya.

Alias berkata sehingga hasil perbincangan itu diputuskan, tiada undang-undang untuk menghentikan hotel dan restoran daripada mengenakan caj perkhidmatan.

"Ia seperti tip untuk pekerja dan diagihkan di kalangan mereka tanpa mengira bahagian mereka ditugaskan.

"Gaji asas pekerja hotel dan restoran tidak begitu tinggi dan kutipan caj perkhidmatan bertindak sebagai tambah nilai kepada mereka," katanya.

Sejak pelaksanaan GST, beberapa pengunjung enggan membayar caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus sekali gus menimbulkan kebimbangan di kalangan pelayan dan pengurus.

"Kita tidak boleh memaksa mereka untuk membayar caj tersebut. Kita cuba untuk menjelaskan GST adalah untuk kerajaan manakala caj perkhidmatan dibayar kepada kami," kata seorang pengurus restoran sushi.

Sebuah kafe di Bangsar juga berdepan masalah sama.

"Terdapat pelanggan yang mempertikaikan caj tersebut. Mereka memaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan mengenakan caj perkhidmatan kerana ia sekarang digantikan dengan GST," kata pengurus kafe itu.

caj perkhidmatan, Alias Ahmad, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain