suria

PRK Permatang Pauh: DAP Ragu Komitmen PAS, Hadi Liabiliti

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, pakatan pembangkang terus berbalah apabila DAP meragui komitmen PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil bagi kawasan itu.

Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkemungkinan menjadi liabiliti terhadap jentera pakatan pembangkang ekoran isu hudud yang diperjuangkan parti Islam itu.

"Ketika pilihan raya kecil nanti akan ada masalah. DAP sedia bekerjasama dengan PKR, Itu kerusi PKR.

"Di peringkat akar umbi DAP dan PAS tak ada masalah, kami boleh bekerjasama, tetapi masalah kami hanyalah Hadi," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Pada Rabu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas petisyen rayuan  pengampunan Anwar ditolak.

Keputusan itu sekaligus bermaksud hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar hendaklah diteruskan.

Mengulas lanjut, Ram yang juga salah seorang peguam pasukan pembelaan kes liwat Anwar berkata, isu pelaksaan hukum hudud yang perjuangkan PAS bakal menimbulkan masalah kepada pakatan pembangkang untuk berhadapan PRK Permatang Pauh.

"Saya tak tahu akan ada konsensus atau tidak dalam PRK Permatang Pauh jika pemimpin bertelagah.

"Oleh itu adalah penting untuk pastikan pendirian DAP mengenai Hadi. Masalah membabitkan hudud ini akan berikan kesan dalam pengurusan PRK," katanya.

DAP, PAS, PKR

Artikel Lain