suria

PAS Sokong Pindaan Perlembagaan Perkasakan SPRM

KUALA LUMPUR: PAS akan memberi sokongan sebulat suara terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi penggubalan undang-undang bagi memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sokongan itu dinyatakan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis perbincangan antara pengurusan tertinggi SPRM dan pemimpin PAS di bangunan Parlimen, Selasa malam.

"Saya memberi jaminan kesemua 21 anggota Parlimen PAS akan menyokong pindaan ini," katanya.

Pindaan itu akan melibatkan dua perkara utama iaitu menambah peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas itu.

SPRM memerlukan sokongan dua pertiga daripada anggota parlimen di Dewan Rakyat untuk memastikan pindaan perlembagaan itu berjaya apabila dibentangkan di Parlimen kelak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pindaan tersebut amat penting bagi meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM.

Katanya peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bertujuan bagi  membolehkan badan itu melantik dan memecat pegawainya secara bebas tanpa melalui proses biasa yang dilalui penjawat awam iaitu menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pindaan itu akan memperuntukkan Ketua Pesuruhjaya dilantik secara bebas melalui Perlembagaan dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Saya berharap pindaan ini mendapat sokongan dua pertiga anggota parlimen kerana pindaan ini akan membolehkan SPRM membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan lebih berkesan dan bebas," katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ucapannya berkata SPRM perlu diberi kebebasan untuk bertindak dalam melaksanakan peranannya dan anggota parlimen juga perlu bertanggungjawab mengemukakan cadangan bagi meningkatkan martabat SPRM.

Beliau berkata PAS sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dan 'membuka pintu' kepada SPRM untuk menyiasat jenayah rasuah termasuk dalam kalangan anggota parti itu sendiri.

"Kita tidak mahu anggota kita yang tidak betul dan tidak jujur serta tidak membawa kebaikan. Tidak boleh melindungi walaupun orang yang paling rapat dengan kita," katanya.

PAS, SPRM, Perlembagaan

Artikel Lain