suria

Malaysia Mula Laksana GST

KUALA LUMPUR: Malaysia mula melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Rabu yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai Asean.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara Asean - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.

Golongan peniaga juga dijangka menikmati pengurangan kos perniagaan melalui penambahbaikan sistem cukai semasa dan penghapusan elemen cukai bertindih.

Mengambil kira kepentingan rakyat, kerajaan turut memperkenalkan kategori barangan dan perkhidmatan dikecualikan CBP bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai selama ini.

Antaranya barangan makanan asas, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam di samping jumlah tertentu penggunaan bekalan air dan elektrik.

Menyedari pasti akan wujud kekeliruan serta untuk melindungi pengguna, kerajaan menyediakan beberapa mekanisme agar rakyat tidak tertipu dengan pelaksanaan GST oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Antara undang-undang yang berkaitan GST ialah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Selain itu, enam buah buku panduan harga pengguna mengikut zon mengandungi senarai harga barangan yang turun, kekal dan naik turut diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Buku panduan itu boleh diperoleh secara percuma di ibu pejabat dan di pejabat KPDNKK setiap negeri atau memuat turun dari laman web http://ebook.kpdnkk.gov.my.

KPDNKK turut menyediakan talian aduan menerusi hotline Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau di laman web http://aduan.customs.gov.my atau menghubungi KPDNKK di talian hotline 1-800-886-800 atau 03-88826245 dan 03-88826088.

JKDM pula menyediakan talian hotline 1-300-888-500 atau 03-8882211 untuk orang ramai mendapatkan sebarang penjelasan lanjut berhubung GST.

Orang ramai juga diingatkan bahawa hanya peniaga berdaftar dengan GST berhak mengenakan cukai itu dan semakan senarai premis perniagaan tersebut boleh dibuat di laman web http://gstmalaysiainfo.com/bagaimana-cara-untuk-menyemak-status-gst.

GST

Artikel Lain