suria

Orang ramai Dijemput Sertai Larian Amal Mercy

Raja Riza Shazmin Badrul Shah (tengah) memperkenalkan baju 't' larian amal Mercy yang dijadualkan pada Ogos ini.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) menjemput orang ramai menyertai Larian Kemanusiaan Antarabangsa Mercy kali kedua di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Setiausaha Kehormat Mercy Malaysia, Raja Riza Shazmin Badrul Shah berkata, larian pada 1 Ogos itu untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai pentingnya kecergasan mental dan fizikal semasa menghadapi bencana.

"Larian ini sedikit sebanyak dapat menghulurkan bantuan dan mengumpul dana untuk golongan yang memerlukan terutamanya mangsa banjir di kawasan pantai timur,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Sukan GoInternationalGroup.com, Nikki Yeo berpendapat rakyat Malaysia seharusnya memiliki gaya hidup sihat dan mempunyai kecergasan yang cukup dari segi mental dan fizikal terutamanya menerusi program seperti ini.

"Kesedaran mengenai kecergasan mental dan fizikal disamping gaya hidup sihat menjadi satu kelebihan bagi setiap rakyat Malaysia sekiranya berhadapan dengan bencana alam seperti banjir," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Mercy Malaysia di sini pada Selasa.

Jelasnya, larian terbahagi kepada tiga kategori iaitu larian solo, berkumpulan dan 'Virtual' (hanya menderma menerusi pendaftaran).

Kategori larian solo dikenakan yuran sebanyak RM80 manakala  berkumpulan, RM400. Bagi larian 'virtual' tidak dikenakan kadar tetepi terpulang kepada orang ramai untuk membuat sumbangan.

"Kesemua bayaran akan disalurkan sepenuhnya ke tabung dana kemanusiaan Mercy.

"Peserta larian boleh memilih tiga laluan yang disediakan iaitu sepanjang tiga, tujuh dan 10 kilometer bermula di Padang Merbok dan akan melalui beberapa jalan utama sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Mercy, Larian Amal

Artikel Lain