suria

Jakim, DagangHalal Perkenal Sistem Pengurusan Sijil Halal Pertama Di Dunia

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan DagangHalal Bhd (DHB), syarikat pasaran e-dagang halal global pada Isnin memperkenalkan Sistem Pengurusan Sijil Halal (HCMS) yang pertama di dunia untuk badan-badan Pensijilan Halal di seluruh dunia.

HCMS yang merupakan penambahan kepada Halal Verification Engine, akan membantu mempercepatkan proses pengesahan sijil halal yang mempunyai ciri keselamatan yang ketat di samping meningkatkan kecekapan semasa menjejaki puluhan ribu sijil.

HCMS akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa kali ke-6 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada malam Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DHB Mohamed Hazli Mohamed Hussain berkata antara ciri khusus HCMS ialah kod QR pada sijil halal yang membantu badan pensijilan halal untuk mengenal pasti ketulenan sijil.

Katanya HSMS adalah sistem interaktif yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sangat ketat, membolehkan lebih daripada 70 badan pensijilan halal global menguruskan proses pensijilan halal mereka sendiri.

"Badan-badan pensijilan global mengendalikan jumlah sijil yang banyak yang ada kalanya boleh mencecah ribuan sijil pada satu-satu masa dari satu badan pensijilan sahaja," katanya pada sidang media di sini Isnin.

"Dalam hal ini, sistem HCMS berupaya mengendalikan traksaksi data berskala besar dengan lancar, sekali gus meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kos," katanya.

Secara lansung katanya, sistem terbaru itu akan memenuhi permintaan perdagangan halal globl yang semakin meningkat dengan nilai mencecah US$2.5 trilion menjelang 2018, berbanding US$1.7 trilion pada 2012.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim Hakimah Mohd Yusof berkata buat masa ini enam badan pensijilan Halal telah berdaftar untuk HCMS.

Badan pensijilan Halal tersebut antaranya The Central Islamic Committee of Thailand, Halal Certification Agency, Vietnam, ARA Halal Development Services Centre, China, Shandong Islamic Association, China dan Japan Halal Association.

"Kita menjangkakan lebih banyak badan pensijilan Halal akan berdaftar untuk sistem HCMS di masa akan datang," katanya.

sijil halal, Jakim, DagangHalal

Artikel Lain