suria

Promosi Makanan: Malaysia Yakin Tarik Kedatangan 29.4 Juta Pelancong - Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Malaysia yakin dapat menarik kedatangan 29.4 juta pelancong tahun ini bersempena Tahun Festival Malayisa (MyFest) 2015, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sehubungan itu, beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan menjana hasil RM89 bilion jika penggiat industri pelancongan dan kebudayaan terus mempromosi kepelbagaian makanan Malaysia yang hebat dengan pendekatan yang holistik dan relevan.

"Sektor swasta dan kerajaan perlu bekerjasama rapat bagi memastikan kejayaan kempen kementerian bagi memastikan ia dapat menjana lebih banyak hasil untuk negara," katanya pada pelancaran menu baharu D'Tandoor International Group of Restaurants di sini, Isnin.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah.

Sebagai penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi negara, Mohamed Nazri berkata, perbelanjaan pelancong meningkat secara signifikan kepada RM72 bilion tahun lepas berbanding RM65.4 bilion pada 2013.

Mohamed Nazri berkata, perkongsian strategik akan menyediakan peluang yang tidak terbatas untuk mencapai ke khalayak global yang belum pernah terjadi sebelum ini melalui rangkaian global D'Tandoor.

"Atas sebab itu, kementerian mengadakan pakatan strategik dengan D'Tandoor, satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi restoran itu mempamerkan yang terbaik daripada apa yang kita tawarkan semasa MyFest 2015," katanya.

Beliau berkata, D'Tandoor, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera akan memainkan peranan sebagai orang tengah bagi industri pelancongan melalui restoran mereka untuk mempromosikan 'Pelancongan Makanan' dalam pelabelan dan pemasaran Malaysia melalui makanannya.

Menghadap tasik Putrajaya, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kelazatan makanan utara India tetapi juga masakan Malaysia dan Arab sambil menikmati pemandangan indah masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di seberang tasik itu.

Pengarah urusan DTandoor Food Industries Sdn Bhd Datuk Abdul Malik Abdullah berkata outlet Putrajaya adalah restoran ke-17 dibuka oleh syarikat itu.

"Restoran itu mempunyai 20 jenis roti naan dan hidangan istimewa mereka ialah kaki kambing yang dipanggang 24 jam yang dipanggil Raan Srikandi, untuk hidangan enam hingga lapan orang," katanya. -- Bernama

Nazri Aziz, pelancong, MyFest

Artikel Lain