suria

TLDM Tahan 12 Warga Asing Dipercayai Curi Khazanah Negara

KUANTAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan dua buah bot nelayan asing yang dinaiki 12 individu, dipercayai mencuri khazanah negara berhampiran Pulau Tioman.

Pegawai Memerintah KD Pahang Komandar TLDM Nikmat Azhar Mahmud berkata kegiatan mereka terbongkar semasa kapal KD Pahang mengesan salah sebuah bot itu dalam keadaan mencurigakan di lokasi 55.5 batu nautika utara Pulau Tioman pada pukul 1.35 petang, Ahad.

Bot nelayan itu semasa kejadian sedang berada di lokasi kapal karam pada zaman perang dunia kedua, tambah beliau. 

"Bot itu cuba lari sehingga memaksa KD Pahang memberi amaran dan melepaskan dua das tembakan sebelum bot berkenaan dapat ditahan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Nikmat Azhar berkata pemeriksaan mendapati bot itu hanya dinaiki seorang individu warga Thailand.

Bagaimanapun, TLDM kemudiannya mengesan sebuah lagi bot berada kira-kira 60 batu nautika utara Pulau Tioman pada pukul 3 petang hari yang sama.

"TLDM mengejar dan apabila diperiksa, terdapat seorang tekong bersama 10 awak-awak warga Vietnam.

"Selain itu, pemeriksaan turut menjumpai kepingan tembaga yang mencurigakan dipercayai berasal dari kapal karam zaman perang dunia yang lalu," katanya.

Pemeriksaan juga mendapati semua suspek yang berusia antara 14 hingga 47 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, katanya. 

Nikmat Azhar menambah semua suspek diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Artikel Lain