suria

Ancaman Serangan Militan Dalam Negara Tidak Mustahil - Polis

Ayob Khan Mydin Pitchay.
KUALA LUMPUR: Ancaman serangan militan tidak mustahil boleh berlaku dalam negara ini sekiranya tidak diawasi secara bersepadu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ancaman militan di luar negara telah memasuki fasa kedua susulan serangan 'ala militan' seperti yang berlaku di Australia dan Perancis, yang dipercayai dilakukan pengganas.

Di beberapa negara luar sudah ada serangan tetapi di Malaysia masih di fasa satu iaitu mereka merekrut ahli dan walaupun belum ada serangan berlaku semua pihak perlu berwaspada, katanya.

"Dalam perkara ini, kita perlukan kerjasama semua pihak untuk pantau termasuk menyalurkan sebarang maklumat kepada polis jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan. Kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas memberi ceramah bertajuk 'IS: Menerusi Perspektif Keselamatan' selepas Majlis Ijtimak dan Penyampaian Saguhati kepada Anggota Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Ayob berkata adalah penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergerak seiring dengan pihak Jabatan Agama dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam memastikan usaha mengekang penularan ancaman militan ini dapat dilaksanakan secara komprehensif.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ancaman serangan militan dalam negara susulan penahanan dua warga Iraq Khamis lepas, disyaki terlibat membuat ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu negara.

Mengenai motif sebenar yang cuba dilakukan dua warga Iraq yang dipercayai anggota kumpulan militan IS itu, Ayob berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan sama, Ayob turut mendedahkan gadis dan wanita yang merancang untuk ke Syria atas dasar jihad sebenarnya sedia maklum bahawa mereka akan "melayan" empat orang "mujahidin" serentak apabila berada di sana.

"Ini hasil soal siasat gadis dan wanita Malaysia... Mereka sedia maklum apa yang akan mereka lakukan apabila berada di sana kerana dari awal mereka telah 'disuntik' dengan ideologi ini yang kononnya ia tidak salah.

Mereka juga terlalu yakin apabila pergi ke sana ia sebahagian daripada jihad," katanya.

Sehingga kini, seramai 75 orang yang disyaki terlibat dengan IS termasuk dua warga Iran, telah ditahan di negara ini.

Artikel Lain