suria

Singapura Bersedia Untuk Perarakan Penghormatan Terakhir Lee Kuan Yew

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada Lee Kuan Yew yang ditempatkan di bangunan Parlimen.
SINGAPURA: Lebih dari 1.2 juta orang memberikan penghormatan terakhir kepada Lee Kuan Yew di bangunan Parlimen dan tapak penghormatan masyarakat, selepas tempoh berkabung untuk orang awam berakhir pada petang Sabtu.

Kira-kira 415,000 orang telah berbuat demikian di bangunan Parlimen di mana giliran untuk mereka yang berkabung secara rasmi ditutup pada pukul 8 malam, Sabtu, seperti yang dijadualkan.

Lebih kurang 850,000 orang telah memberikan penghormatan kepada pengasas Singapura di beberapa tapak masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Ia merupakan satu pengalaman yang amat besar minggu ini sejak Lee Kuan Yew meninggal dunia. Saya rasa sambutan daripada semua segmen masyarakat kita, semua orang, amat besar dan penuh pengertian," kata Hsien Loong kepada pemberita, di Padang, tempat bermulanya perbarisan, petang Sabtu.

Perarakan pengebumian, yang bermula pada 12.30 tengah hari Ahad, akan melepasi kawasan-kawasan penting seperti bangunan lama Parlimen, serta kawasan-kawasan di bahagian tengah.

Selepas perarakan, upacara pengebumian akan diadakan di Pusat Kebudayaan Universiti di Universiti Nasional Singapura dari pukul 2 petang hingga 5.15 petang.



Sebagai sebahagian daripada pengebumian Negara, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan membunyikan isyarat "All-Clear" sebanyak dua kali, melalui rangkaian siren Sistem Amaran Awam, sebagai tanda memanggil seluruh rakyat di negara itu berdiam diri selama satu minit.

Ia adalah yang pertama kali dilakukan oleh SCDF dan menandakan penghormatan yang paling mendalam untuk bapa pengasas Singapura.

Apabila bunyi pertama isyarat dibunyikan, orang ramai digalakkan untuk mula berdiam diri selama satu minit. Bunyi kedua menandakan seminit untuk berdiam diri telah berakhir.

Di kedua-dua pintu masuk negara, semua pemeriksaan individu dan kenderaan juga akan dihentikan selama satu minit.

Pada masa itu juga semua kereta api MRT akan berhenti di stesen dan pintunya akan dibuka. Begitu juga dengan bas yang dijadualkan berlepas dari pusat pertukaran bas atau terminal akan ditangguhkan dalam tempoh seminit.

Dalam posting Facebook pada petang Sabtu, Hsien Loong mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Lee Kuan Yew di bangunan Parlimen di Sri Temasek, dan 18 tapak masyarakat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Singapura, Pasukan Polis Singapura, Pasukan Pertahanan Awam Singapura, pegawai beruniform, agensi-agensi kerajaan, Persatuan Rakyat, kumpulan masyarakat, syarikat-syarikat swasta, sukarelawan dan penyumbang di atas 'kerja keras, bantuan dan belas kasihan'.

Barisan untuk menunggu giliran di bangunan Parlimen pada awal hari Sabtu kelihatan lebih pendek. Sehingga 5 pukul petang, tempoh masa menunggu adalah sehingga lima jam.

Sesetengah orang, yang diberi keutamaan dalam giliran seperti warga tua, orang kurang upaya dan golongan yang sangat muda, berkata tempoh menunggu adalah kira-kira satu jam pada petang Sabtu.

Pada petang Jumaat dan beberapa jam pada awal pagi Sabtu, tempoh menunggu mencecah selama 10 jam.

Oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan, pihak berkuasa terpaksa menghentikan orang ramai daripada menyertai barisan atas sebab-sebab keselamatan pada awal pagi Sabtu.

Giliran dibuka semula pada pukul 6.15 pagi, selepas ia telah ditutup selama lapan jam. - The Straits Times/Asia News Network


Artikel Lain