suria

Pemandu Teksi Maut Ditetak Warga Asing

KLANG: Seorang pemandu teksi mati dipercayai akibat ditetak seorang warga Bangladesh di Jalan Kepayang, Bandar Baru Klang pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong berkata mayat lelaki berusia 55 tahun itu ditemui rakannya di sebuah rumah teres kira-kira pukul 10 malam.

"Rakan mangsa yang juga pemandu teksi menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di rumah itu.

"Mangsa meninggal akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Ampuan Rahimah untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Shukor berkata sebelum kejadian, pemandu teksi itu dilihat bergaduh dengan seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an di hadapan kedai kosong di Jalan Meru.

Pergaduhan mereka dikhabarkan tercetus akibat perasaan cemburu.

Beliau berkata rakan si mati melihat berlaku tolak-menolak antara si mati dan lelaki Bangladesh itu.

Si mati kemudian dilihat mengejar lelaki Bangladesh itu sehingga ke rumah suspek.

"Dari situ kita percaya berlaku lagi pergaduhan antara mereka sehingga menyebabkan suspek menetak mangsa dengan parang," katanya.

Mohd Shukor berkata suspek telah melarikan diri bersama senjata yang digunakan sejurus kejadian.

Suspek sedang dikesan.

teksi, Bangladesh

Artikel Lain