suria

Dua Mekanik Maut Motosikal Bertembung

ALOR SETAR: Dua mekanik maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Kampung Telaga Bata di sini Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, Mohd Noor A'fifi Noor Zamri, 21, dari Kampung Alor Melong di sini dan Ismail Othman, 35, dari Kampung Guar Kepayang, Pendang meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pemboceng yang cedera ringan ialah Mohd Noor A'zizi Noor Zamri, 19, adik kepada Mohd Noor A'fifi kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurut Adzaman, motosikal yang dinaiki Mohd Noor A'fifi dan adikanya dari arah Jalan Datuk Kumbar menuju ke HSB dikatakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal ditunggang Ismail.

"Akibat pelanggaran itu kedua-dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Noor Zamri Ahmad, 49, bapa kepada Noor A'fifi berkata beliau mendapat berita tersebut daripada Nor A'zizi sejurus selepas kemalangan itu.

Katanya, beliau dan isteri Norma Yaakob, 42, bergegas ke tempat kejadian bagi melihat keadaan dua anaknya dan ketika tiba di tempat kejadian isterinya juga hampir pengsan selepas melihat keadaan anak sulung daripada dua beradik itu.

"Nor A'fifi ni dalam perjalanan nak hantar adik dia Noor A'Zizi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebab adik dia masuk syif malam. Kalau malam, memang dia (Nor A'fifi) akan hantar dan selalu ikut jalan ban sungai ini (tempat kejadian)," katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Hang, Gunung Keriang, di sini, Jumaat.

Sementara itu Abdul Hamid Mat, 56, bapa mertua kepada Ismail berkata Allahyarham yang memiliki bengkel motosikal di Jalan Datuk Kumbar di sini meninggalkan seorang isteri Norzariah Abdul Hamid, 34, dan tiga anak iaitu seorang perempuan dan dua lelaki berusia lima bulan hingga lima tahun.

Katanya, jenazah menantunya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Guar Kepayang, petang ini.

Mekanik, Maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain