suria

Lelaki Warga Emas Maut Dalam Kebakaran

Anggota bomba mengeluarkan mayat Hoi Yip Sun, 71, yang maut dalam kebakaran di Taman Lucky, Kuala Lumpur awal pagi Jumaat, Gambar - ihsan Ondscene.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran yang memusnahkan dua daripada 11 deretan bengkel di Taman Lucky di sini awal pagi Jumaat.

Mangsa, Hoi Yip Sun, 71, ditemui mati selepas pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya memadam api yang turut memusnahkan sebuah kontena yang dijadikan pejabat sebuah bengkel pengiklanan di situ.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 3.33 pagi sebelum jentera pertama tiba lima minit kemudian.

"Seramai 45 anggota bomba termasuk tiga pegawai dan empat anggota sukarelawan berjaya mengawal api yang memusnahkan dua bengkel daripada merebak.

"Selepas api dipadam sepenuhnya pada pukul 4.40 pagi, pemeriksaan telah menemui mayat seorang lelaki berusia 71 tahun yang terperangkap di dalam sebuah kontena yang dijadikan pejabat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Azizan menambah, dua buah bengkel yang terbakar didapati musnah 100 peratus.

Jelasnya, bagaimanapun kepantasan anggota bomba mengawal api turut berjaya menyelamatkan kebakaran merebak ke kawasan kediaman yang terletak lima meter dari lokasi kejadian.

Bomba, Taman Lucky, Kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keadaan Semasa Di Yemen

Artikel Lain