suria

Ahmad Shabery Mahu Warga KKMM Lebih Aktif Perjelas Isu Semasa

Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlu lebih aktif dalam memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu-isu semasa termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengambil contoh GST yang akan dilaksanakan pada 1 April, beliau berkata rakyat perlu faham dan jelas tentang bagaimana hasil yang dikutip dibelanjakan semula untuk kesejahteraan mereka dengan penuh amanah oleh kerajaan.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan GST tergalas di bahu pelbagai kementerian lain, namun kakitangan KKMM perlu meyakinkan rakyat bahawa membayar cukai bukan satu beban, sebaliknya satu tanggungjawab.

"Cabaran bagi kami yang berada dalam Jemaah Menteri ialah tanggapan bahawa wang itu diambil untuk kami. No (Tidak begitu). Wang itu diambil untuk kami uruskan kembali kepada rakyat.

"Kami penjawat awam hanya pemegang amanah. Lebih banyak wang lebih mudah kami serah kembali kepada rakyat," katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 kementerian itu di sini, Khamis.

Ia menyaksikan 686 kakitangan pelbagai agensi di bawah KKMM, termasuk 31 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menerima anugerah masing-masing.

Ahmad Shabery seterusnya berkata tanggungjawab memberi penjelasan dan kefahaman kepada rakyat memerlukan tahap kepintaran lebih tinggi pada hari ini.

Katanya, sebagai anggota kementerian, setiap kakitangan perlu mempunyai semangat yang tinggi dan sanggup bekerja lebih masa termasuk untuk berfikir dan mencari jawapan dan penyelesaian kepada pelbagai persoalan rakyat di samping mencetus idea baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata negara memerlukan GST sebagai sumber pendapatan yang baik kerana tidak selamanya ia mampu bergantung kepada hasil komoditi seperti petrol dan minyak sawit.

"Rakyat perlu faham perkara ini dan kita perlu satu bentuk penerangan yang berkesan, dan ia mestilah dilaksanakan KKMM," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kakitangan yang cemerlang bukan hanya bergantung kepada kerajinan dalam tugasan serta peribadi yang baik, sebaliknya mampu menggunakan seluruh teknik dan kekuatan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

"Peranan kakitangan kita ialah bagaimana jadi penyelesai masalah, bukan sebahagian daripada masalah. Barulah dikatakan kakitangan ini kakitangan yang cemerlang.

"Dan inilah tuntutan besar oleh kementerian kita lebih daripada kementerian lain.

"Tanpa kita, orang tak fahami apakah hasrat keamanan, kemakmuran dan sistem yang selama ini telah memberikan yang terbaik kepada negara. Inilah tanggungjawab kita," tegas Ahmad Shabery.

Artikel Sebelum

"Dengar Dahulu" - Hadi

Artikel Lain