suria

Lelaki Tempatan Disyaki Cuba Bawa Masuk Warga Asing Ditahan

BUTTERWORTH: Seorang lelaki tempatan dipercayai anggota  sindiket pemerdagangan manusia ditahan malam tadi ketika cuba membawa masuk empat lelaki warga Bangladesh, menurut polis.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, lelaki berusia 30-an itu itu ditahan dalam Ops Bersepadu Khas di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan di sini malam Rabu.

"Lelaki itu ditahan bersama-sama empat lelaki Bangladesh dalam sebuah kereta dan dipercayai dia baru mengambil mereka di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk dihantar kepada majikan.

"Siasatan kami mendapati mereka (sindiket) mengubah waktu aktiviti membawa warga asing dari siang kepada waktu malam dan menggunakan kenderaan persendirian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini malam Rabu.

Operasi Bersepadu Khas itu disertai 229 pegawai dan anggota daripada 12 agensi penguat kuasa antaranya Jabatan ImigresenPulau Pinang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi.

Abdul Rahman berkata, turut ditahan dalam operasi dua jam bermula 8 malam itu ialah 16 pendatang tanpa izin berusia 20 hingga 30 tahun. Kesemua mereka ditahan dalam pemeriksaan ke atas lima bas ekspres yang dalam perjalanan dari utara ke selatan.

"Sembilan daripada mereka rakyat Bangladesh, lima Myanmar dan masing-masing seorang dari Thailand dan Sri Lanka. Kesemua yang ditahan itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua 20 pendatang tanpa izin dan lelaki tempatan yang ditahan itu dibawa ke pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Juru," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa 1,127 kenderaan dan mengeluarkan 205 saman atas pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi itu kami turut mengenakan kompaun ke atas van dari negara asing yang tidak mempunyai permit perjalanan dan pemandunya diarah membayar denda serta-merta. Sebanyak empat kenderaan dikompaun," katanya.

Beliau berkata, sejak 1 November tahun lepas hingga semalam, JPJ telah  mengeluarkan notis advokasi cermin gelap kepada 1,661 pemilik kenderaan tentang penguatkuasaan peraturan baharu penggunaan cermin gelap yang akan dilaksanakan mulai 1 Mei.

JPJ, Imigresen, Hassan Yaacob, warga asing

Artikel Lain