suria

Kembali Meragut Selepas Empat Bulan Keluar Penjara

MIRI: Selepas dipenjara selama empat bulan sehingga Februari lalu atas kesalahan meragut, seorang lelaki ditangkap sekali lagi bersabit jenayah yang sama.

Suspek ditahan Selasa lalu bersama seorang lagi rakan di Taman Permai, Jalan Dato Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata dengan penahanan mereka, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes ragut bersenjata.

Beliau berkata kedua-duanya yang berumur sekitar 20-an kini direman selama  tiga hari.

Mengulas mengenai modus operandi mereka, katanya suspek meragut dengan menggunakan pisau lipat.

"Satu kes pernah dilakukan kedua-dua suspek ialah mengekori seorang mangsa dengan motosikal sehingga ke kediaman mangsa, sebelum mengetuk cermin kenderaan mangsa dan berpura-pura mahu bertanyakan sesuatu. 

"Apabila mangsa membuka cermin kenderaannya, suspek terus meragut beg tangan mangsa," kata Stanley.

Beliau berkata kes terbaharu yang dilakukan suspek ialah pada Selasa lepas di tempat letak kereta di Dewan Suarah Miri, sebelum kedua-duanya ditangkap.

Daripada mereka, polis antara lain merampas sebuah motosikal, rantai emas, sebilah pisau lipat, telefon bimbit, jam tangan dan kad ATM.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menumpaskan kumpulan mencuri motosikal dengan penahanan lapan lelaki dan merampas enam buah motosikal yang dipercayai dicuri.

ragut, Miri

Artikel Sebelum

Artikel Lain