suria

Selangor Perlu Segera Bertindak Tangani Wabak Denggi - Subramaniam

Subramaniam diberi penerangan oleh Pegawai Sains (Entomologi) Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Khadijah Khairuddin (kanan) cara melakukan ujian 'Cone Bioassay' terhadap nyamuk ketika melakukan lawatan ke lokaliti hotspot denggi di taman perumahan Seksyen 7, Shah Alam, Rabu.

SHAH ALAM: Semua kerajaan negeri terutama Selangor ditegur supaya segera bertindak untuk mengurangkan penularan wabak demam denggi yang disifatkan semakin meruncing.

Berdasarkan senarai titik panas atau lokasi utama wabak berkenaan, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 180 berbanding 222 di seluruh negara, diiktuti Perak dengan 32 lokasi.

Menteri Kesihatan, Datuk S.Subramaniam berkata, kerajaan Pusat sudah melaksanakan tindakan sewajarnya bagi membendung isu ini, tetapi pada masa sama kerajaan negeri bertanggungjawab mengawal wabak berkenaan.

"Kerajaan negeri memainkan peranan yang paling utama dalam proses ini kerana soal kebersihan, pemungutan sampah dan tapak pembinaan semuanya menjadi tanggungjawab di peringkat negeri masing-masing.

"Dalam keadaan sekarang, kerajaan negeri seharusnya meningkatkan lagi usaha bagi mengurangkan jumlah kes demam denggi,” katanya ketika  membuat lawatan di kawasan titik panas wabak penyakit itu di Seksyen 7, di sini pada Rabu.

Subramaniam (tengah) melihat salah seorang penduduk melakukan pembersihan longkang di hadapan rumahnya ketika melakukan lawatan ke lokaliti hotspot denggi di taman perumahan Seksyen 7, Shah Alam, Rabu. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr S. Balachandran (kiri).

Bagi tempoh Januari hingga 21 Mac, Selangor adalah penyumbang utama kes demam denggi iaitu 58 peratus daripada 30,890 kes di seluruh negara berbanding 21,967 kes, manakala jumlah kematian pula meningkat 81.5 peratus iaitu 98 kematian berbanding 54 pada tahun lepas untuk tempoh sama.

Mengulas lanjut, kata Subramaniam, langkah kawalan baharu turut dilaksanakan iaitu menerusi teknik semburan kawalan nyamuk Aedes, Outdoor Residual Spray (ORS).

"Sebanyak 63 daripada 71 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang menunjukkan pengurangan kes selepas membuat semburan ORS.

“Semburan ORS dilakukan diluar rumah dan mampu bertahan selama tiga bulan, malahan nyamuk juga mudah mati menggunakan kaedah ini,” katanya sambil menambah jumlah kes menurun 34 peratus iaitu 2,006 antara 16 hingga 21 Mac lalu berbanding 2,276 kes pada minggu sebelumnya.

 

 
Selangor, denggi, ORS, Subramaniam

Artikel Lain