suria

Penjenayah Ditembak Mati Terbabit Kes Edar Dadah, Senjata Api

Anggota forensik polis sedang memeriksa mayat seorang daripada dua penjenayah yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Rasah- Port Dickson, Sabtu.

SEREMBAN: Dua lelaki yang ditembak mati di Jalan Rasah-Port Dickson semalam dipercayai terbabit dengan kes pengedaran dadah dan senjata api.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, mereka yang berusia 24 dan 40 tahun itu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor turut dikehendaki berkaitan ses samun, bunuh, rusuhan, pengedaran dadah dan gangster  di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila sepasukan anggota dari Stafoc Bukit Aman yang melakukan rondaan berhubung maklumat senjata api terserempak dengan kenderaan yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan polis telah menghampiri kenderaan tersebut dan mengarahkan supaya kenderaan tersebut berhenti. Ketika pasukan polis keluar dari kenderaan mereka, tiba-tiba terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dari arah kenderaan suspek.

"Kelihatan dua suspek memegang senjata api, lalu pihak polis mengambil perlindungan dan dalam masa yang sama telah membalas tembakan bagi tujuan mempertahankan diri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 di sini, Ahad.

Jaafar berkata, kejadian berakhir dengan kedua-dua suspek ditembak mati sementara seorang anggota polis terkena tembakan yang dilepaskan suspek, namun terselamat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada kenderaan yang dinaiki suspek, ditemui sepucuk revolver dan sepucuk pistol semi auto CZ.

Pihak polis turut menemui enam paket dadah dipercayai heroin pada suspek, katanya.

Beliau berkata, seorang suspek turut mempunyai tatu bernombor 36 di bahagian lengan kirinya dan pihak polis percaya suspek merupakan anggota kumpulan kongsi  gelap 36.

"Pihak polis akan meneruskan operasi mengesan saki-baki ahli kumpulan ini dan beberapa serbuan dan tangkapan telah dibuat susulan dari kejadian tembak menembak tersebut," kata Jaafar.

Beliau berkata, hanya dua suspek terlibat dalam kejadian berbalas tembak itu. -- Bernama

Artikel Lain