suria

PKR Tak Sokong RUU Persendirian PAS

PETALING JAYA: PAS tidak akan mendapat sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila parti itu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung kuasa mahkamah syariah di Parlimen.

Biro Politik PKR menerusi kenyataannya pada Sabtu menyebut, ia tidak dimaklumkan mengenai intipati RUU Persendirian itu.

"Ia dicadangkan sebelah pihak sahaja dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.

"Sekiranya RUU Persendirian itu berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, PKR tetap dengan pendirian asal untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah," kata kenyataan itu.

Ia merujuk kepada notis oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, serta barisan Naib Presiden PKR, serta Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

PAS, PKR, RUU Persendirian, Parlimen

Artikel Lain