suria

SPNB Bina Lebih 32,000 Rumah Mesra Rakyat Sejak 2002

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)  telah membina 32,948 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara sejak 2002, kata Datuk Ahmad Maslan.

Katanya setakat ini sebanyak 2,803 unit lagi Rumah Mesra Rakyat sedang dalam proses pembinaan di seluruh negara meliputi kawasan tanah rancangan Felda dan kampung tersusun.

"Kita terima 74,022 permohonan. Sejumlah 35,751 yang lulus...bakinya tidak lulus kerana pendapatan isi rumah pemohon melebihi RM3,000 sebulan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) mengenai pembinaan RMR dan isu pemilikan tanah bagi projek itu.

Pecahan pembinaan RMR mengikut negeri adalah Terengganu 4,702 unit, Kelantan (4,812 unit), Pahang (2,837 unit), Perak (3,467 unit), Pulau Pinang (255 unit), Kedah (4,150), Perlis (714 unit) dan Negeri Sembilan (2,683 unit).

Manakala di Selangor (1,528 unit), Melaka (1,689 unit), Johor (4,402 unit), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9 unit), Sabah (770 unit), Sarawak (893 unit) dan Wilayah Persekutuan Labuan (37 unit), katanya.

Berhubung isu pemilikan tanah, Ahmad berkata perbincangan di peringkat keluarga diperlukan bagi memastikan pembinaan rumah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), mengenai peruntukan kerajaan kepada pembinaan RMR, Ahmad berkata kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang dibina.

RMR dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah seperti nelayan dan petani yang memiliki tanah tetapi tidak mampu membina rumah sendiri.

Dalam isu lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata proses persempadanan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah selesai dan telah diwartakan untuk dikuatkuasa pada 5 Dis lepas.

Beliau yang menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata kajian semula persempadanan semula itu diluluskan DUN Sarawak yang menambah komposisi keanggotaan DUN daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.

Tambah Shahidan, SPR perlu menyiapkan kajian semula dalam tempoh masa dua tahun dan laporan akhir hasil kajian itu akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat untuk pertimbangan.

Kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003.

SPNB, Rumah Mesra Rakyat

Artikel Lain