suria

Ku Li Dipelawa Sokong Pakatan Pembangkang

PETALING JAYA: Sehari selepas lantang mempersoalkan kedudukan kewangan negara, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ‘dipelawa’ menyokong pendirian pakatan pembangkang.

Malah veteran Umno itu digesa supaya membuktikan kata-katanya yang dianggap bertentangan dengan pendirian Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata Razaleigh diminta menyokong usul tergempar yang akan dikemukakan wakil rakyat pakatan pembangkang di Parlimen bagi mengutuk tindakan polis terhadap pimpinannya.

"Jika rakyat Malaysia boleh percaya tentang serius dan kritikalnya keadaan ekonomi dan politik negara seperti yang diucapkan oleh Ku Li (Tengku Razaleigh), apakah yang mereka boleh harapkan daripada Ku Li?

"Langkah pertama yang boleh diambil Ku Li ialah untuk sama menyokong usul tergempar bagi mengutuk tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar susulan penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Husam lagi, pakatan pembangkang dijadual akan membawa usul berkenaan ketika persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Selasa, Razaleigh dengan lantang mengkritik dan mempersoalkan kedudukan ekonomi termasuk jumlah hutang negara.

Malah Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu turut mengulangi gesaannya supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April depan.

Barisan Naisonal, Dewan Rakyat, GST

Artikel Lain