suria

Kes Denggi Meningkat Di Kedah

ALOR SETAR: Kes demam denggi di Kedah meningkat sebanyak 37 peratus iaitu 223 kes bagi tempoh Januari hingga 14 Mac lepas berbanding 163 kes tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu kenyataan berkata lapan daerah menunjukkan peningkatan kes dalam tempoh berkenaan termasuk daerah Kota Setar, meningkat kepada 48 kes atau 243 peratus berbanding 14 kes tempoh sama tahun lepas.

Katanya daerah Kubang Pasu meningkat kepada 23 kes atau 64 peratus berbanding 14 kes, Padang Terap meningkat 100 peratus (10 kes berbanding 5 kes tahun lepas), Baling meningkat 73 peratus (19 kes berbanding 11 kes), Kulim peningkatan 152 peratus (53 kes berbanding 21 kes).

Beliau berkata daerah Sik pula meningkat lima kes berbanding satu kes tempoh sama tahun lepas manakala Bandar Baharu dan Yan masing-masing mencatatkan empat dan 13 kes.

Bagi Januari hingga 14 Mac lepas, tiada kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi," katanya.

Dr Norhizan berkata pihaknya turut melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan Aedes di 66,030 premis dan mendapati sebanyak 1,305 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

Katanya, sebanyak 491 kompaun bernilai RM227,700 kepada pemilik premis yang melanggar Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 65 Notis di bawah Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.

Beliau berkata sebanyak 87,202 premis telah dilakukan semburan asap untuk membunuh nyamuk dan sebanyak 43,702 premis telah diletakan 'abate' bagi memusnahkan jentik-jentik Aedes.

"Bagi mencegah penularan kes denggi semua pihak masyarakat memainkan peranan dengan menjaga kebersihan persekitaran kawasan perumahan masing-masing dengan memastikan sampah-sarap dibuang dengan berhemah dan kaedah yang betul.

"Masyarakat perlu mengetahui gejala demam denggi seperti demam kuat secara mengejut, sakit kepala, sakit sendi, ruam pada badan dan amaran awal seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah berterusan serta perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran," katanya.

Denggi, Kedah, Aedes

Artikel Berikut

Artikel Lain